LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.

Ketibaan Sultan Nazrin dan Tuanku Zara kira-kira jam 11 pagi disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad; Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Majlis dimulakan dengan bacaan Al-Quran dan doa, diikuti sembah ucapan Nik Nazmi serta Saarani.

Baginda kemudiannya melafazkan pemasyhuran diikuti dengan gimik pemasyhuran dan tayangan montaj.

Majlis diteruskan dengan persembahan kebudayaan daripada komuniti Lenggong Geopark sebelum baginda melawat ke tapak pameran.

Nik Nazmi dalam sembah ucapannya berkata, NRES selaku peneraju dan Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan memberi sokongan penuh terhadap usaha pembangunan geopark di dalam negara.

Menurutnya, usaha itu terbukti di mana dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini, kementerian melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Jawatankuasa Geopark Kebangsaan dan Jawatankuasa Pelaksana Geopark telah berjaya mengiktiraf 11 geopark kebangsaan.

Geopark itu ialah Jerai di Kedah dan Lembah Kinta di Perak (2017); Labuan di Wilayah Persekutuan dan Lenggong di Perak (2021); Gombak-Hulu Langat di Selangor; Stong di Kelantan dan Sarawak Delta di Sarawak) (2022) dan Kenyir di Terengganu, Perlis serta Lipis di Pahang (2023).

“Malah, Malaysia turut berbangga kerana memiliki dua UNESCO Global Geopark iaitu Langkawi, Kedah (2007) dan Kinabalu, Sabah (2023),” ujarnya.

Selain itu, kata Nik Nazmi, NRES melalui JMG sedang bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk mewujudkan Lesen Geoguide bagi kawasan Geopark di bawah Akta Industri Pelancongan, 1992 (Akta 482).

Menurutnya, sejumlah 229 orang geoguide di semua geopark kebangsaan telah berjaya lulus dalam kursus Eco-Host anjuran MOTAC dan JMG iaitu salah satu pra-syarat dalam mewujudkan lesen geoguide.

Di Lenggong Geopark sendiri, ujarnya, seramai 23 orang geoguide telah berjaya lulus dalam kursus tersebut.

Sementara itu, Saarani dalam ucapannya berkata, Lenggong Geopark yang berkeluasan 2,068 kilometer persegi menyenaraikan 27 produk geotapak, lapan biotapak, sembilan tapak geoarkeologi dan 18 tapak budaya dan sejarah.

Menurutnya, sejak 2021, Lenggong Geopark telah dibangunkan dengan pelbagai infrastruktur dan sehingga kini mempunyai 30 geoguide dalam kalangan anak tempatan, sebuah Galeri Lenggong Geopark, sebuah Pusat Informasi Komuniti, sebuah Koperasi Lenggong Geopark, Persatuan Geoguide Lenggong, Sahabat Lenggong Geopark malah satu modul geosekolah untuk sekolah rendah di Lenggong turut dibangunkan.

Beliau berkata, seperti mana sukar dan mencabarnya perjalanan negeri untuk mendapatkan status Geopark Kebangsaan untuk Lenggong Geopark, begitulah juga getirnya untuk kita mengekalkan statusnya.

Justeru, katanya, segala cabaran itu menuntut kesepakatan dan kerjasama semua pihak, baik di peringkat kerajaan negeri mahu pun persekutuan, untuk terus sama-sama bahu-membahu dalam memastikan Lenggong Geopark ini terus gah berdiri seiring dengan geopark lain di Malaysia.


“Mudah-mudahan status Lenggong Geopark dapat terus dikekalkan dan berupaya memperoleh pengiktirafan tertinggi sebagai UNESCO Global Geopark,” ujarnya.