NATIONAL
Sultan Perak dukacita isu agama, kaum terus disensasi
Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Yang Kelima Belas di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, hari ini. --fotoBERNAMA
IPOH: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah menzahirkan rasa dukacita kerana masih ada pihak yang memilih untuk terus menjadikan isu agama dan kaum sebagai bahan sensasi yang dipolemik, diperdebat dan dipolitikkan.
Baginda bertitah, isu agama dan kaum, semakin disensasikan oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan agama.
Malah, titah baginda, ada kalanya perkara kecil dan setempat berkaitan agama dan kaum, dipilih untuk dieksploitasi, sehingga berpotensi mencetuskan letupan besar.
Baginda memberi contoh isu pemindahan kuil Dewi Sri Pathrakaliaman di Kuala Lumpur untuk membolehkan sebuah masjid dibina.
“Meskipun kekusutan yang berlarutan lebih 10 tahun berjaya dirungkai melalui persefahaman yang dicapai secara rundingan antara pihak-pihak yang terlibat, tetapi masih ada pihak tertentu, memilih untuk terus dijadikan bahan sensasi yang dipolemikkan, diperdebatkan dan dipolitikkan ke peringkat menjentik emosi yang meresahkan rakyat.
“Perkara mengenai agama dan kaum, semakin disensasikan - semakin ditunggang oleh mereka yang mahu diiktiraf sebagai wira kaum dan wira agama, meskipun berpotensi mencetuskan kemarahan dan rasa permusuhan sesama warga,” tidak baginda pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga, Dewan Negeri Kelima Belas Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, negara sedang berhadapan cabaran untuk mencari serapah ajaib serta resepi berkesan untuk mengendalikan secara adil, saksama dan berkesan, perselisihan dalam masyarakat yang pelbagai.
“Sangat mendukacitakan politik kebencian dijadikan pilihan, dan dikhuatiri negara bakal menghadapi warga yang tidak lagi bersatu, malah membenci dan memusuhi antara satu sama lain.
“Negara ini semakin disemai benih-benih kebencian secara keterlaluan hingga terhakisnya kompas moral dan gugurnya empati apabila berurusan dengan pihak yang tidak sekata.
“Kelihatan semakin subur budaya fitnah, semakin sarat budaya yang merestui perbuatan menghina dan menjatuhkan maruah lawan politik, dan semakin luntur nilai-nilai keinsanan dan kemanusiaan. Kebenaran bagaikan tiada lagi mempunyai nilai dan harga,” ujar baginda.
Titah Sultan Nazrin, sikap pemimpin Masjid Al-Falah Subang Jaya, dan pemimpin Kuil Sri Maha Kaliamman Jalan Putra Harmoni, semasa peristiwa kebakaran saluran paip gas di Putera Heights harus dijadikan teladan yang baik.
Menurutnya, mereka membuka pintu rumah ibadat masing-masing kepada mangsa dan petugas, tanpa mengira identiti kaum atau agama untuk dijadikan tempat perlindungan, malah dibenarkan umat Islam menunaikan solat di ruang yang disediakan di kuil tersebut.
“Sifat terpuji pemimpin kedua-dua rumah ibadat ini, memberikan harapan dan mengubati kebimbangan kita terhadap hubungan kaum di negara ini.
“Hakikatnya, rakyat biasa tanpa diracuni diayah politik memecah belah, boleh hidup secara aman, secara harmoni,” titah Sultan Nazrin.