Keberangkatan tiba baginda di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini disambut Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Haris Kasim.
Hadir sama Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad.
Bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat yang dipimpin oleh Mufti Selangor Datuk Dr Anhar Opir itu disertai oleh kira-kira 1,000 jemaah termasuk pegawai serta anggota pasukan keselamatan yang bertugas di Selangor.
Sultan Sharafuddin kemudian menunaikan solat Jumaat dan mendengar khutbah bertajuk "Sudahkah Kita Merdeka" yang disampaikan Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Muhammad Farhan Wijaya yang turut mengimamkan solat Jumaat.
Sambutan Hari Kebangsaan Ke-67 peringkat negeri akan berlangsung malam ini di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang mengangkat tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, sama sebagaimana tema di peringkat kebangsaan.
-- BERNAMA