Sultan Selangor mahu masalah banjir ditangani secara tuntas

Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar 2026 membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat Selangor serta menjadi titik azam untuk menjadi insan lebih baik, berakhlak dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri. -Foto Facebook
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah mahu melihat masalah banjir ditangani secara tuntas dengan sasaran yang jelas untuk mencapai zero flood (sifar banjir).
Ringkasan AI
- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menyeru penyelesaian masalah banjir dengan sasaran zero flood, menekankan perancangan jangka panjang serta kepakaran terbaik dan teknologi terkini.
- Baginda menasihati pemimpin politik Selangor agar berhenti perbalahan politik dan menumpukan usaha kepada penyelesaian masalah rakyat dengan matlamat kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri.
- Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada rakyat, berharap tahun baru mendatangkan kemakmuran dan kebaikan kepada semua.
"Carilah kepakaran terbaik sama ada dari dalam mahu pun luar negara. Gunakan ilmu, teknologi dan pengalaman.
"Jangan lagi berlindung di sebalik alasan kerana penderitaan rakyat tidak boleh dijadikan harga yang perlu dibayar akibat kegagalan perancangan.
"Beta maklum kita tidak mampu menghalang ribut, taufan, hujan lebat atau bencana alam yang merupakan ketentuan Ilahi.
"Namun beta yakin, banjir boleh diatasi sekiranya wujud sistem yang baik, perancangan jangka panjang dan pelaksanaan yang jujur serta berdisiplin," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian menerusi perutusan Tahun Baharu 2026 yang dimuat naik pada akaun Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Selain itu, Sultan Sharafuddin menasihatkan mereka yang diamanahkan kuasa serta tanggungjawab, khususnya pemimpin politik di Selangor agar menghentikan perbalahan politik dan menumpukan sepenuh perhatian kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat.
Baginda bertitah segala perancangan dan tindakan hendaklah berteraskan satu matlamat utama, iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri.
"Beta ingin berpesan cukup-cukuplah bercakap pasal politik, fokus bekerja untuk menyelesaikan masalah rakyat kerana tidak lama lagi akan berlangsung pilihan raya umum.
"Tumpukan segala tenaga dan fikiran kepada usaha membina pembangunan yang nyata agar rakyat dapat hidup lebih selesa, terpelihara kebajikannya dan merasa dilindungi oleh sistem yang adil serta berkesan.
"Ingatlah, tiada yang mustahil jika niat tulus dan usaha itu bersungguh-sungguh," titah baginda.
Menerusi perutusan itu, Sultan Selangor dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama serta latar belakang.
Sultan Sharafuddin menzahirkan harapan agar 2026 membawa kemakmuran lebih besar kepada rakyat Selangor serta menjadi titik azam untuk menjadi insan lebih baik, berakhlak dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat dan negeri.
"Semoga Allah SWT memberkati negeri ini dan seluruh rakyat beta. Selamat Tahun Baharu 2026," titah baginda.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah tindakan yang diinginkan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam menangani masalah banjir? A: Baginda menginginkan penyelesaian banjir yang komprehensif dengan sasaran mencapai zero flood, melalui perancangan jangka panjang dengan menggunakan kepakaran terbaik dan teknologi terkini.
- Q: Apakah nasihat yang diberikan oleh Sultan Selangor kepada pemimpin politik di Selangor dalam menyelesaikan masalah rakyat? A: Sultan Selangor menasihati pemimpin politik agar menghentikan perbalahan politik, menumpukan perhatian kepada menyelesaikan masalah rakyat, dan berteraskan matlamat utama iaitu kemakmuran rakyat dan kestabilan negeri.
- Q: Apakah harapan Sultan Selangor bagi tahun 2026 kepada rakyat Selangor? A: Baginda berharap agar tahun 2026 membawa kemakmuran yang lebih besar kepada rakyat Selangor, serta menjadi titik azam untuk menjadi insan yang lebih baik, berakhlak, dan bermanfaat kepada keluarga, masyarakat, dan negeri.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

