KLANG: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam di Istana Alam Shah bersempena dengan Lawatan Negara beliau ke Malaysia.
Ketibaan Tharman pada 11 pagi di sini, disambut Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Hadir sama Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim selaku Menteri Pengiring.
Sesi menghadap yang berlangsung kira-kira satu jam setengah itu berakhir pada 12.40 tengah hari sebelum Tharman meninggalkan Istana Alam Shah.
Presiden Singapura itu berada di Malaysia untuk Lawatan Negara selama tiga hari bermula 13 hingga 15 Julai, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu sebagai membalas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global. Di peringkat serantau pula, republik itu merupakan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.
-- BERNAMA