KLANG:Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan mengulangi kebimbangan Baginda mengenai peningkatan isu-isu membabitkan gejala rasuah dan penyebaran berita palsu berunsur fitnah di kalangan rakyat, ahli politik dan penjawat awam.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah pada Khamis, tegas Baginda, rasuah dan fitnah yang semakin berleluasa ketika ini adalah musuh utama yang menular dalam kalangan masyarakat serta dikhuatiri menghancurkan negara.

"Baginda ingin mengingatkan kepada orang Melayu khususnya, bahawa rasuah dan fitnah adalah perbuatan yang dilarang dan berdosa di sisi agama Islam.

"Baginda berpandangan bahawa rasuah dan fitnah ini juga telah menjadi punca kepada perpecahan dalam situasi politik negara dan seterusnya telah mencemar reputasi urus tadbir negara di peringkat antarabangsa. Ini terbukti melalui kejatuhan signifikan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tahun lalu," jelas kenyataan itu.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut memuji langkah akhbar Sinar Harian yang disifatkan Baginda sebagai berani menampilkan laporan pelbagai perspektif mengenai realiti sebenar isu rasuah di Malaysia melalui segmen Rasuah Busters.

"Baginda terkejut apabila membaca mengenai pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa separuh daripada kes-kes rasuah yang berlaku di negara ini melibatkan penjawat awam.

"Oleh yang demikian, Baginda menyeru pihak SPRM supaya terus menjalankan tugas dengan bersungguh-sungguh ke arah menghapuskan kegiatan rasuah.

"Baginda turut berharap pelaku-pelaku rasuah ini dibanteras dengan segera bersandarkan bukti-bukti kukuh, dan diadili di mahkamah dengan pantas dan telus supaya menjadi tauladan kepada masyarakat," jelas kenyataan itu lagi.

Dalam kenyataan itu lagi, Baginda turut menasihatkan setiap rakyat agar memainkan peranan untuk menghentikan perbuatan tidak bermoral (rasuah) yang boleh memusnahkan peradaban bangsa untuk tempoh yang panjang.

Suasana ketika ini, tegas Baginda lagi diburukkan lagi dengan penyebaran berita-berita palsu berunsur fitnah yang kian berleluasa di media-media sosial.

"Baginda tidak mahu kepincangan dan perpecahan yang berlaku di arena politik merebak sehingga memecah-belahkan rakyat.

"Untuk itu, Baginda menyeru agar rakyat berbilang kaum terus bersatu padu dan bijak menepis anasir-anasir tidak baik khususnya rasuah dan fitnah, demi kesejahteraan negara serta generasi akan datang.

"Baginda percaya sekiranya rakyat bersatu, berkhidmat dan berbakti untuk negara yang disayangi ini serta melakukan kerja dengan bersungguh-sungguh, negara akan terus maju ke hadapan," ujar kenyataan Istana Alam Shah itu lagi.