SARA 2025: Semakan Kelayakan Dibuka – RM100 Dikredit Terus ke MyKad
MALAYSIA

Sumbang mahram dengan adik ipar: Hukuman penjara 15 tahun bekas anggota polis kekal

Bernama 22/08/2025 | 10:06 MYT
Hakim Mahkamah Rayuan berkata, Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan daripada segi undang-undang atau fakta. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 15 tahun dan tiga sebatan terhadap seorang bekas anggota polis yang melakukan sumbang mahram dengan adik iparnya.

Panel tiga hakim dipengerusikan oleh Datuk Azman Abdullah, yang bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin, membuat keputusan tersebut selepas menolak rayuan lelaki berusia 32 itu terhadap sabitan serta hukumannya.

Ketika menyampaikan keputusan yang dibuat secara sebulat suara, Azman berkata Mahkamah Sesyen tidak melakukan kekhilafan daripada segi undang-undang atau fakta.

"Perlu diingatkan bahawa SP1 (saksi pendakwaan pertama iaitu mangsa) ialah seorang gadis yang tinggal di rumah perayu dan kakaknya dan perayu adalah abang ipar mangsa," katanya.

Beliau berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen tidak berlebihan kerana perbuatan perayu telah menghancurkan masa depan mangsa.

"Tambahan pula, ketika kejadian, perayu berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Mahkamah Sesyen telah mensabitkan tertuduh dengan kesalahan itu pada 28 Ogos 2023 dan menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dengan tiga sebatan sebelum rayuannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 26 Nov tahun lepas yang menyebabkan dia membawa kes berkenaan ke Mahkamah Rayuan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di sebuah apartmen di Selangor pada 23 Mac 2020 terhadap mangsa yang ketika kejadian berusia 19 tahun mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan sebatan.

Penghakiman Mahkamah Tinggi menyebut mangsa adalah pelajar sebuah kolej dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan susulan penularan COVID-19, dia telah diarah untuk mengosongkan asrama.

Memandangkan dia tidak dapat pulang ke kampung halaman, mangsa telah dibawa ke apartmen yang disewa oleh kakaknya dan perayu yang baru melangsungkan perkahwinan.

Pada prosiding hari ini, perayu diwakili peguam Shaharuddin Mohamed manakala Timbalan Pendakwa Raya Prosecutor Shamala Jaganathan hadir bagi pihak pendakwaan.

-- BERNAMA

#sumbang mahram #adik ipar #PKP #hukuman penjara