Sumber air di Kuala Koh tidak tercemar, bebas radio aktif - Hazmat

Vivi Sumanti
Jun 11, 2019 01:00 MYT
Ujian secara terperinci akan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia yang keputusannya dijangka diketahui dalam tempoh seminggu. - Foto JBPM
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengesahkan setakat ini sumber air di beberapa tempat sekitar Kuala Koh bebas dari sebarang pencemaran dan radioaktif.
Pengarahnya, Salleh Sarbini berkata pengesahan ini berdasarkan ujian dan pengesanan menggunakan alat pengesan pencemaran yang dilakukan pasukan Unit Bahan Berbahaya JBPM (Hazmat) semalam.
"Hasil ujian awal pihak Hazmat semalam, di mana sampel air di ambil di beberapa sumber mendapati tiada sebarang unsur pencemaran," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.
Pihak Hazmat katanya mengambil contoh air dari kawasan bekas tapak lombong, air tandak, air dari kawasan Aring 10, air sungai dan lain lain sumber berhampiran dan mendapati tiada kesan pencemaran.
"Kita guna alat khas pengesan pencemaran dan pengesan radioaktif yang mana setakat ujian semalam tiada pencemaran di kesan" katanya.
Bagaimanapun keputusan ujian secara terperinci yang dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kimia akan hanya diketahui dalam tempoh seminggu.
Sebelum ini masyarakat Orang Asli Batek mendakwa kematian dan penyakit yang menyerang disebabkan sumber air tandak dan air di kawasan Kuala Koh, yang tercemar.
Sehingga kini 14 kematian masyarakat asli Batek dilaporkan manakala 50 orang lagi di awat di Hospital Kuala Krai dan Hospital Gua Musang dengan salah seorang kanak kanak berusia 3 tahun kritikal dan di rawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II.
#bomba #Gua Musang #Hazmat #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #JBPM #Kuala Krai #Malaysia #Orang Asli #Salleh Sarbini