MALAYSIA

Sumpit dan beliung, senjata tradisi Orang Asli ketika zaman komunis

Bernama 05/09/2025 | 08:15 MYT
Penghulu Kampung Teranek, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, Ayeh Kolir, 77, (kiri) bersama menantunya Aziz Abak, 54, menunjukkan cara menggunakan sumpit dengan betul. - Bernama
GUA MUSANG: Bagi masyarakat Orang Asli, khususnya suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, sumpit dan beliung bukan sekadar peralatan tradisional tetapi pernah menjadi senjata utama dalam mempertahankan diri ketika era darurat sekitar 1948.

Penghulu Kampung Teranek, Ayeh Kolir, 77, berkata sumpit atau dikenali sebagai 'blau' dalam bahasa Temiar, diperbuat daripada buluh temiang manakala pelurunya pula dihasilkan daripada pelepah pokok bertam yang dikikis nipis serta diasah sehingga tajam pada hujungnya, yang sangat berkesan sebagai senjata untuk memburu haiwan mahupun mempertahankan diri.

Katanya, selain sumpit, beliung turut memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat Orang Asli dahulu kerana senjata yang menyerupai kapak kecil itu digunakan dalam pertempuran jarak dekat dan sangat berguna dalam situasi cemas.

"Mata beliung diperbuat daripada batu gua yang diasah rapi, menjadikan strukturnya tahan lama dan tajam.

"Saya masih ingat ketika berpindah ke Kuala Betis dari Pos Blau, Lojing, pada zaman darurat tahun 1948 dahulu, ayah menggunakan senjata ini sebagai perisai melindungi kami sekeluarga daripada ancaman komunis," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Teranek, RPS Kuala Betis, di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Ayeh yang juga merupakan antara penduduk tertua di RPS Kuala Betis berkata kehidupan di Kuala Betis ketika ini sudah jauh berbeza dengan zaman dahulu kerana banyak kawasan sudah dilengkapi pelbagai kemudahan seperti jalan raya dan pembangunan.

"Dulunya hanyalah hutan belantara dan dalam suasana serba kekurangan itulah, senjata buatan tangan menjadi harapan dan pelindung utama penduduk Orang Asli.

"Kini, setelah lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan, sumpit dan beliung tidak lagi digunakan untuk berperang sebaliknya menjadi simbol budaya dan identiti masyarakat Orang Asli," katanya.

Beliau berharap keamanan yang dikecapi hari ini akan terus berkekalan dan masyarakat tidak melupakan sejarah perjuangan nenek moyang mereka yang meskipun serba kekurangan, sanggup mempertahankan keluarga dan tanah air dengan apa yang mereka ada.

"Kesenian dan nilai sejarah yang terkandung dalam kedua-dua senjata ini menjadi warisan yang harus dihargai generasi muda. Dahulu nenek moyang kita hidup dalam keadaan berjaga-jaga dengan membawa sumpit dan beliung untuk mempertahankan diri dan keluarga daripada ancaman musuh," katanya.

-- BERNAMA



#Orang Asli #komunis #sumpit #bulan Kemerdekaan