[LAPOR LANGSUNG] 9 rakyat Malaysia ditahan rejim Israel
MALAYSIA

Sumud Nusantara Malaysia mohon PM Anwar bantu atur gerak gelombang kedua menerusi Mesir

Astro Awani 08/10/2025 | 15:30 MYT
Sani Araby yakin hubangan baik dan luar biasa Anwar dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mampu memudahkan atur gerak bantuan bagi gelombang kedua. - Gambar Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Sumud Nusantara Malaysia memohon Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu mengatur gerak pasukan itu menghantar bantuan ke Gaza melalui laluan darat menerusi sempadan Mesir.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Al Kahery yakin hubangan baik dan luar biasa Anwar dengan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mampu memudahkan atur gerak bantuan bagi gelombang kedua.

"Kita gunakan pentas ini dan memohon izin Datuk Seri (Anwar) mengatur gerak Sumud Nusantara Malaysia ke bumi Mesir kerana saya tahu Datuk Seri ada hubungan baik dengan Presiden Mesir.

"Kita tahu Datuk Seri boleh memainkan peranan yang luar biasa dan tidak terjangkau. Saya minta izin untuk bagi laluan kepada Sumud Nusantara Malaysia untuk kita buat gelombang kedua menghantar bantuan melalui darat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena pada Rabu malam.

Turut hadir, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan serta beberapa wira dan wirawati Global Sumud Flotilla.

Selain itu, Sani Araby juga mahu Anwar menjadi pengantara dan menjadi tonggak depan sebagai Ketua Penyelaras memastikan Malaysia membebaskan Gaza sekali gus membina semula Gaza.

"Ketiga saya memohon sekali lagi Datuk Seri, andai esok Allah SWT izinkan Gaza bebas dan gencatan senjata berlaku, kami mohon Datuk Seri menjadi tonggak depan memakai jaket sama menjadi chef de mission memastikan pembinaan semula Gaza," katanya.



#Global Sumud Flotilla #Freedom Flotilla Coalition #MyCare #Pelabuhan Ashdod