[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
MALAYSIA

Sun Bus Tech tawar gaji premium bermula RM4,000, perkasa bakat industri Johor

Bernama 09/06/2025 | 06:00 MYT
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor Aznan Tamin (empat, kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sun Bus Tech Sdn Bhd, Shyan Phang (kanan) mendengar penerangan pada majlis hari ini. - Foto Bernama
KULAI: Sun Bus Tech, syarikat pembuatan badan bas memeterai nota persefahaman (NoU) bersama Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC) bagi melancarkan inisiatif pembangunan bakat industri tempatan yang menawarkan gaji permulaan RM4,000 kepada pekerja berkemahiran baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi JTDC Aznan Tamin berkata kerjasama itu adalah langkah proaktif dalam usaha meningkatkan standard pembangunan bakat bagi menyokong visi Kerajaan Johor untuk bakat tempatan.
Beliau berkata komitmen syarikat itu menyediakan latihan dan gaji yang kompetitif menjadi contoh bagaimana industri boleh memimpin dalam membina masa depan yang lebih kukuh di negeri berkenaan.
"Kita berharap inisiatif gaji premium ini menjadi model dan pencetus kepada lebih banyak syarikat di Johor untuk melabur dalam pembangunan bakat serta mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti tinggi.
"Usaha ini menyokong visi kami untuk mengekalkan bakat berkemahiran, mengukuhkan asas perindustrian dan memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan serta inovasi yang menarik," katanya selepas majlis menandatangani NoU di sini hari ini.
JTDC adalah inisiatif penting di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) untuk melahirkan bakat tempatan berkemahiran tinggi, selari dengan keperluan pelabur dan industri yang semakin berkembang di negeri berkenaan.
Sasaran utama JTDC adalah untuk menyediakan 20,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan sudah dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini.
Sementara itu, Aznan berkata banyak syarikat menunjukkan minat terhadap inisiatif pembangunan bakat negeri, dengan beberapa lagi NoU dan memorandum persefahaman (MoU) sedang dirangka untuk dimeterai dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Eksekutif Sun Bus Tech Shyan Pang berkata syarikatnya menyasarkan pengambilan sekitar 200 pekerja melalui program ini, dengan 40 peratus jawatan telah diisi dan selebihnya akan diisi secara berperingkat melalui proses saringan dan latihan.
Beliau berkata fokus utama adalah bidang teknikal dan pembuatan seperti juruteknik dan operator mahir.
"Kerjasama Sun Bus Tech dan JTDC bukan sahaja menyediakan bantuan latihan tetapi juga memberikan akses kepada pendedahan industri, latihan sambil bekerja di kemudahan Sun Bus Tech dan laluan kerjaya yang terjamin selepas tamat pengajian.
"Kerjasama ini menekankan nilai sinergi antara Kerajaan Johor dan industri. Ia mengesahkan komitmen Sun Bus Tech yang lebih luas untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab bakat mahir dalam sektor mobiliti dan pembuatan," katanya.
Sun Bus Tech yang berpusat di Senai Airport City di sini adalah pemain utama dalam industri pengangkutan, khusus dalam pembinaan badan bas berkualiti tinggi untuk kenderaan konvensional dan elektrik.
-- BERNAMA
#Sun Bus Tech #gaji premium #EXCO Johor #pekerja berkemahiran baharu #bakat tempatan