Sungai di daerah Sik catat paras bahaya

Adie Sufian Zulkefli
Jun 12, 2022 01:30 MYT
Pemantauan APM terus dilakukan sehingga pagi tadi supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya banjir berlaku. - Astro AWANI
SIK: Hujan lebat tanpa henti lebih tiga jam malam tadi mengakibatkan paras air sungai di daerah Sik meningkat sehingga mencatatkan paras bahaya.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sik, Leftenan (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, limpahan air meletakkan tiga kampung iaitu Kampung Belimbing, Pekan Sik dan Kampung Kemelong pada kedudukan berjaga-jaga di mana limpahan sungai boleh memasuki rumah penduduk.
“Paras air Sungai Chepir mencatatkan dalam keadaan berjaga-jaga manakala paras air Kampung Jerai pula pada tahap waspada.
"Sebelas buah rumah di Kampung Pinang, Mukim Sok terjejas akibat banjir kilat namun penduduk tidak dipindahkan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Haisul Aishah memaklumkan, setakat ini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.
Bagaimanapun katanya, pemantauan terus dilakukan sehingga pagi tadi supaya tindakan segera dapat diambil sekiranya banjir berlaku.
#hujan lebat #paras air sungai #paras bahaya #APM