Sungai Johor tercemar, JAS sahkan berlaku kerosakan pada kolam takungan

Pengerusi JPKKOA Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Jasni Amat, menunjukkan keadaan pencemaran sungai, dipercayai berpunca daripada kolam takungan milik sebuah syarikat perlombongan pasir yang pecah di Sungai Sayong, Ulu Sungai Johor. - Bernama
JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengesahkan berlaku kerosakan pada "bund silt pond" atau kolam takungan sedimen, yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pengorekan pasir di Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi dekat sini.
Pengarah JAS Johor Mohd Famey Yusoff berkata susulan itu, pihak Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) telah mengarahkan operasi korek pasir itu dihentikan serta-merta.
"Selain itu, kita juga telah mengarahkan kerja pembaikan 'bund' (benteng) dijalankan segera, bagaimanapun, 'silt' (sedimen) yang telah terlepas tidak dapat dibendung kerana terus masuk ke sungai," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati penduduk dan nelayan di Kampung Orang Asli Sayong Pinang, Kota Tinggi, resah apabila ratusan ikan ditemukan mati akibat sungai berlumpur dipercayai berpunca daripada kolam takungan milik sebuah syarikat perlombongan pasir yang pecah.
Laporan polis turut dibuat penduduk di Balai Polis Bandar Tenggara dan mereka berharap agensi berkaitan termasuk JAS serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Insiden pencemaran berkenaan telah diajukan oleh Bernama kepada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon dan beliau mengambil maklum.
Sementara itu, Ranhill SAJ dalam kenyataan berasingan memaklumkan loji rawatan air (LRA) di sepanjang sungai berkenaan terpaksa menghentikan operasi susulan pencemaran air mentah hingga menyebabkan gangguan bekalan air tidak terancang.
Syarikat itu juga akan menggerakkan bantuan bekalan air alternatif menerusi lori tangki ke kawasan terjejas, mengikut keperluan.
"Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari masa ke semasa. Kami menghargai kesabaran dan kerjasama orang ramai dalam menghadapi situasi ini," menurutnya.
Operator air Johor itu memaklumkan kawasan terlibat adalah sebahagian Senai dan Skudai, Seelong dan Felda Linggiu, Kulai; Petri Jaya, Kota Tinggi; dan Lima Kedai, Iskandar Puteri.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


