Sungai Muar melimpah, 17 penduduk dipindahkan ke PPS

Bernama
November 2, 2022 04:23 MYT
Limpahan air Sungai Muar itu menjejaskan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Limpahan air Sungai Muar yang berlaku sejak semalam telah menyebabkan beberapa buah rumah penduduk di daerah Segamat dinaiki air sehingga paras lutut.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat Hasrin Kamal Hashim berkata susulan itu seramai 17 penduduk dari lima keluarga yang terjejas ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada 8 pagi tadi.
Setakat 12 tengah hari ini, jumlah penduduk terjejas banjir masih tidak berubah, katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata mereka yang terjejas melibatkan penduduk Kampung Seberang Batu Badak dan Kampung Batu 5.
"Tidak hujan sejak dua atau tiga hari lepas, bagaimanapun paras air sungai di Negeri Sembilan meningkat dan telah menyebabkan Sungai Muar turut melimpah sehingga menyebabkan beberapa rumah penduduk berdekatan dinaiki air," katanya.
Beliau berkata kesemua mangsa ditempatkan di Balairaya Kampung Batu Badak.
-- BERNAMA
#Sungai Muar #sungai melimpah #penduduk dipindahkan #PPS