MALAYSIA

Superbug: Produk berasaskan haiwan di Malaysia selamat - DVS

Bernama 23/01/2026 | 09:36 MYT
DVS memaklumkan pemantauan keselamatan makanan diperkukuh oleh Kementerian Kesihatan menerusi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) hari ini menegaskan produk berasaskan haiwan di Malaysia selamat untuk dimakan, sekali gus menafikan beberapa perkara tidak tepat dalam laporan berkaitan "superbug" oleh sebuah akhbar pada 3 Jan.

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerintangan antimikrob (AMR) dalam haiwan ternakan merupakan isu yang diiktiraf dan dipantau dengan teliti serta disokong langkah kawalan veterinar yang telah lama wujud termasuk pemeriksaan mandatori di rumah sembelih serta ujian tahunan di bawah Program Pemantauan Keselamatan Makanan bagi residu ubat veterinar.

Jabatan itu memaklumkan pemantauan keselamatan makanan diperkukuh oleh Kementerian Kesihatan menerusi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

DVS memaklumkan dapatan pemantauan AMR yang dilaporkan mereka diperoleh daripada program pemantauan nasional yang disasarkan bagi mengenal pasti trend dari semasa ke semasa dan perlu ditafsirkan dalam konteks epidemiologi serta pemantauan yang sesuai.

"Penemuan ini tidak menunjukkan keselamatan makanan terjejas mahupun risiko kesihatan awam yang tidak terkawal. Selain itu, data penemuan (kadar kerintangan antibiotik E. coli dan Salmonella spp. yang diasingkan daripada ternakan pada 2024) yang dimasukkan dalam artikel tersebut bukan sumber daripada DVS," menurut kenyataan itu.

DVS memaklumkan kerintangan antimikrob merupakan isu pelbagai faktor yang dipengaruhi oleh corak penyakit, tahap biosekuriti, amalan pengurusan ladang dan faktor persekitaran.

"Ia tidak seharusnya dikaitkan semata-mata dengan penggunaan antimikrob pada peringkat ladang. Sejak 2012, Malaysia telah melaksanakan dasar yang melarang penggunaan antimikrob sebagai penggalak pertumbuhan dan profilaksis sebagai sebahagian daripada usaha kawalan AMR kebangsaan yang berterusan," menurut kenyataan itu.

DVS juga akan terus melaksanakan Pelan Tindakan Mengenai Rintangan Antimikrob Malaysia (MyAP-AMR) yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Kerintangan Antimikrob Kebangsaan (NARC) melibatkan sektor kesihatan manusia, kesihatan haiwan, keselamatan makanan dan persekitaran.

Jabatan itu juga mengulangi komitmen terhadap komunikasi yang telus dan berasaskan sains serta menggesa orang ramai untuk bergantung kepada maklumat yang disahkan sumber rasmi.

-- BERNAMA


#superbug #DVS #daging ternakan #daging import