NATIONAL

Surah al-Saff: Islam perlu bersatu hadapi krisis ekonomi dunia - Nouman

Bernama 21/05/2025 | 15:34 MYT
Nouman berkata, dunia perlu kembali kepada al-Quran agar tidak mudah hanyut dengan propaganda yang sering dilakukan pemimpin korup. - Bernama
SHAH ALAM: Penceramah terkenal Nouman Ali Khan menggesa umat Islam sedunia bersatu dan bermuhasabah dengan mengambil iktibar daripada surah al-Saff dalam menghadapi krisis ekonomi global.

Beliau yang juga Pengasas Institut Bayyinah berkata, dunia perlu kembali kepada al-Quran agar tidak mudah hanyut dengan propaganda yang sering dilakukan pemimpin korup menggunakan kaedah bertentangan dengan ajaran Islam termasuk kezaliman.

"Firman Allah menerusi surah al-Saff jelas menggariskan kepentingan kebersamaan menegakkan agama Allah dalam mengharungi cabaran hidup, ibarat kapal yang perlu meredah badai lautan. Setiap ummah perlu menyokong satu sama lain mengatasi perpecahan dan kepayahan.

"Dengan keikhlasan, keimanan dan kebersamaan, kita perlu berkorban demi kejayaan dunia dan akhirat selain perlu memperhalusi setiap tindakan kita," katanya ketika menyampaikan syarahan pada program Road to World #Quran Convention 2025 di Bangunan Karangkraf di sini hari ini.

Dengan tema 'Bicara al-Saff: Membimbing Kepimpinan, Penyatuan dan Ekonomi Global', sesi khas itu menggariskan empat cabaran semasa yang menguji umat Islam iaitu menggoyah keyakinan, hipokrit, penindasan dan kebenaran terhalang.

Nouman turut mencadangkan agar umat Islam berpegang teguh kepada lima rukun utama Hawariyyun (#SavingTheUmmah) sebagai persiapan menghadapi cabaran ekonomi global semasa dan akan datang.

Berlandaskan surah al-Saff, Nouman menjelaskan rukun berkenaan menyentuh perkara berkaitan konsistensi dan integriti agar umat Islam sentiasa jujur, amanah dan teguh dengan prinsip.

"Selain itu umat Islam perlu kekal bersatu mencapai matlamat dan visi bersama diikuti rukun ketiga yang menyentuh perkara berkaitan kepimpinan dan ketaatan agar mengikuti pemimpin yang berakar kepada iman dan kebenaran.

"Rukun seterusnya adalah komitmen kekayaan dan kehidupan yang menggariskan tentang pengorbanan harta dan hidup ke arah keikhlasan, manakala rukun terakhir adalah bekerjasama dan menyokong satu sama lain," katanya.

Mengulas lanjut, Nouman memaklumkan rukun berkenaan menjurus ke arah tiga sasaran utama iaitu mendapatkan pertolongan dan ganjaran Allah termasuk memperoleh kejayaan sepertimana firman Allah dalam ayat ke-12 dan 13 surah al-Saff.

Beliau berkata pada masa sama, umat Islam juga perlu memperbaiki rohani dengan cara bertasbih kerana ia adalah satu daripada kaedah atau sumber kekuatan iman.

Acara yang dihadiri 200 peserta itu turut disertai tokoh wartawan negara Tan Sri Johan Jaafar, bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

-- BERNAMA



#ekonomi dunia #Umat Islam #krisis ekonomi #Nouman Ali Khan #ajaran al-quran