MALAYSIA

Surat terbuka kepada Menteri Dalam Negeri

Surat Pembaca 27/01/2026 | 01:40 MYT
BDS Malaysia salah satu NGO yang mendesak kerajaan membatalkan keputusan untuk menggunakan penyedia cloud Amazon Web Services bagi data KDN.
YAB Menteri Dalam Negeri,

Keputusan menggunakan penyedia cloud Amazon Web Services bagi data KDN wajib dibatalkan

Kami, NGO-NGO Malaysia yang tersenarai di bawah ingin menzahirkan kekecewaan yang mendalam terhadap keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) baru-baru ini yang menawarkan projek Perkhidmatan Pembangunan AI (Artificial Intelligence) kepada Kometsoft Sdn Bhd. Ini kerana syarikat tersebut adalah rakan kongsi perkhidmatan peringkat lanjutan Amazon Web Service (AWS) dan oleh yang demikian akan menggunakan perkhidmatan yang akan dibekalkan hampir sepenuhnya oleh syarikat Amazon Web Services (AWS), iaitu sebuah Syarikat dari Amerika Syarikat yang telah dikenalpasti oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai sangat terlibat dengan jenayah genosid Israel yang dilakukan di Gaza dan masih berterusan sehingga ke hari ini.

Keputusan tersebut mencerminkan kegagalan dalam pertimbangan tadbir urus awam negara kerana dana awam yang sepatutnya mengukuhkan ekosistem tempatan dan keupayaan berdaulat negara dialirkan kepada sebuah syarikat 'hyperscaler' asing yang tertakluk sepenuhnya kepada kepentingan, undang-undang dan tekanan politik kuasa besar dari luar, khususnya kerajaan Amerika Syarikat.

Adalah diingatkan bahawa KDN adalah penjaga data dan maklumat strategik negara yang merangkumi data daripada pelbagai agensi keselamatan negara termasuk PDRM, JPN, Imigresen, Agensi Kawalan Sempadan dan lain - lain yang secara jelas tergolong sebagai data kritikal misi yang berimpak tinggi.

Kita semua sedar bahawa kuasa besar dunia sering menggunakan teknologi, sistem kewangan dan perkhidmatan awan sebagai alat tekanan politik dan ekonomi. Ia telah terbukti digunakan sebagai alat tekanan melalui sekatan, penggantungan perkhidmatan, kawalan akses dan juga pemaksaan pematuhan kepada dasar luar negara kuasa-kuasa besar.

Kita juga telah menyaksikan sendiri bagaimana kepimpinan Amerika Syarikat di bawah Donald Trump telah melaksanakan polisi unilateral untuk mengenakan sekatan dan tekanan ekonomi kepada negara-negara yang dianggap mencabar kuasa Amerika. Kebergantungan kepada AWS sudah pasti bakal mendedahkan Malaysia kepada risiko gangguan operasi yang bukan berpunca daripada isu teknikal, tetapi disebabkan oleh keputusan politik pemimpin Amerika.

Apa yang lebih membimbangkan adalah AWS juga telah diberi pelepasan sepenuhnya daripada audit Cybersecurity Nasional melalui warta Kerajaan pada awal 2025 dan oleh yang demikian, ia tidak akan tertakluk kepada pematuhan peraturan Cybersecurity Malaysia. Justeru keputusan ini sudah pasti akan mendedahkan negara kepada risiko kecurian dan penyalahgunaan data serta mengancam kedaulatan negara.

Oleh itu, kami menuntut agar:

- Keputusan KDN berkenaan perkara ini dibatalkan serta-merta.
- Semua projek strategik perlu disemak semula berdasarkan keselamatan nasional, kedaulatan digital dan risiko geopolitik.
- Projek Kerajaan dalam bidang perkhidmatan awan (cloud services) perlu diutamakan kepada penyedia tempatan yang tertakluk kepada peraturan undang-undang Cybersecurity negara.
- Garis panduan tegas dikeluarkan untuk meminimakan risiko data keselamatan negara didedahkan kepada kerajaan negara asing.

27 Januari 2026

1. BDS Malaysia
2. Pertubuhan Mawaddah Malaysia
3. Persatuan Akademia IKRAM Malaysia
4. Muslim Care Malaysia
5. Haluan
6. Cakna Palestin
7. GSPP
8. MAPIM
9. Pertubuhan Agenda Wanita Malaysia (AGENDA)
10. ACCIN
11. Malaysian Protest for Palestine (MP4P)
12. World TAMILAR Protection Secretariat ( WTPS)
13. Centre for Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA)
14. Sekretariat Solidariti Palestin (SSP)
15. SEJAGAT
16. ABIM
17. Citizens International
18. JUST
19. Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
20. GERAK
21. PACE
22. Persatuan Kakitangan Akademik UM (PKAUM)
23. Persatuan Mantan Profesor UM (PMPUM)
24. Viva Palestina Malaysia
25. Pertubuhan Teratak Rahmah Wanita Islam (TERATAI)
26. Pertubuhan Penulis Isu-isu Wanita Nasional(PENAWAN)
27. ⁠Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SRR)
28. Pertubuhan Intelektual Perlis (PiP)


* Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




#KDN #NGO #Amazon Web Service #Kometsoft #Israel