Skip to main content

Malaysia

Surau MADANI R&R Seremban (Arah Selatan) dibenar laksana solat sunat Aidilfitri

SEREMBAN, 4 Julai -- Imam 1 Masjid Pekan Labu Batu 10 Shafie Rajiman menyampaikan khutbah bertajuk “Titian Keinsafan dan Keampunan Ilahi pada Hari Asyura" pada solat Jumaat pertama di Surau MADANI Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan) hari ini.  Surau MADANI diisytiharkan sebagai surau pertama di lebuh raya mendapat kelulusan mendirikan solat Jumaat bermula hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Penganjuran solat sunat Aidilfitri telah mendapat kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi menyediakan kemudahan kepada pengguna lebuh raya serta pekerja di R&R berkenaan. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Surau MADANI Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) mencipta sejarah sebagai surau pertama di lebuh raya yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat sunat Aidilfitri.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dalam kenyataan memaklumkan penganjuran solat sunat itu telah mendapat kebenaran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) bagi menyediakan kemudahan kepada pengguna lebuh raya serta pekerja di R&R berkenaan.

Advertisement

Kenyataan itu memaklumkan pemilihan lokasi berkenaan juga adalah berdasarkan kedudukannya yang strategik sebagai antara hentian utama dengan aliran trafik yang tinggi ke arah selatan, khususnya bagi pengguna yang pulang ke kampung halaman di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Selain itu, Surau MADANI di R&R Seremban (Arah Selatan) dipilih kerana kapasiti yang lebih besar serta kemudahan yang lengkap dan selesa, sekali gus berupaya menampung kehadiran jemaah dalam jumlah yang banyak.

“Susun atur kawasan rehat serta kapasiti parkir yang mencukupi turut menyokong kelancaran pergerakan pengguna tanpa menjejaskan aliran trafik utama lebuh raya. Solat Sunat Aidilfitri dijadualkan berlangsung pada 1 Syawal, pukul 8.30 pagi (tertakluk pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri),” menurut kenyataan itu. 

PLUS memaklumkan inisiatif berkenaan mengambil kira keperluan pemastautin dan petugas di kawasan rehat serta pengguna lebuh raya yang masih dalam perjalanan, agar mereka dapat menunaikan ibadah tanpa perlu keluar dari lebuh raya.

Selain itu, pengguna lebuh raya turut dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan sikap sabar dan bertimbang rasa ketika memandu demi kesejahteraan bersama.

“Selaras dengan jangkaan peningkatan trafik sehingga 2.3 juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak musim perayaan, pengguna disarankan merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA melalui aplikasi PLUS,” katanya. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video