MALAYSIA

Suri rumah dipenjara lapan tahun pukul anak angkat guna kayu, lesung batu

Bernama 04/07/2025 | 08:36 MYT
Seorang suri rumah berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor selepas mengaku bersalah mendera anak angkatnya yang berusia 13 tahun. -Gambar hiasan/iStock
KUALA LUMPUR: Seorang suri rumah dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor hari ini selepas mengaku bersalah memukul anak angkatnya menggunakan lesung batu dan kayu serta menoreh badan kanak-kanak perempuan itu dengan pisau.


Ringkasan AI
  • Seorang suri rumah berusia 54 tahun dijatuhi hukuman penjara lapan tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Selangor selepas mengaku bersalah mendera anak angkatnya yang berusia 13 tahun.
  • Tertuduh didakwa memukul mangsa menggunakan objek keras dan menoreh badan mangsa dengan pisau, menyebabkan kecederaan fizikal yang disahkan melalui pemeriksaan perubatan.
  • Hakim turut memerintahkan tertuduh menjalani khidmat masyarakat selama 40 jam selepas tamat hukuman penjara dan dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.
  • Kes dikendalikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.


Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza memerintahkan wanita berusia 54 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Jun dan tertuduh turut dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun.

Mahkamah turut mengarahkan tertuduh melakukan khidmat masyarakat selama 40 jam dalam tempoh empat bulan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Tertuduh sebagai penjaga didakwa melakukan penganiayaan dengan memukul kanak-kanak berusia 13 tahun itu menggunakan kayu dan lesung batu serta menoreh badan mangsa dengan pisau sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bendahara, Kuala Selangor pada Jun lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menjaga mangsa sejak bayi telah memukul dan mendera kanak-kanak itu sehingga gigi mangsa patah selain terdapat kecederaan pada tubuh badannya.

Hasil siasatan dan pemeriksaan perubatan mengesahkan terdapat kecederaan fizikal akibat kesan didera.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat, mengambil kira faktor kepentingan awam serta kekerapan kes dera melibatkan kanak-kanak.

"Tertuduh telah melakukan kesalahan serius seperti yang tertakluk di bawah Seksyen 52B Kanun Keseksaan.

"Saya mohon mahkamah meneliti gambar-gambar kecederaan mangsa yang jelas menunjukkan tertuduh gagal menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.

"Perbuatan tertuduh telah meninggalkan kesan kecederaan fizikal dan mental terhadap anak angkatnya yang kini mengalami trauma," katanya.

Peguam Khairul Hazwan Rashid Mohd Redduan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan yang mewakili wanita itu memohon hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan atas alasan anak guamnya tidak mampu membayar denda kerana tiada pendapatan dan suaminya kini di dalam penjara akibat kes dadah.

-- BERNAMA




#Suri Rumah #dera anak angkat #toreh badan mangsa dengan pisau #pukul mangsa