Seorang suri rumah berusia 35 tahun mengaku tidak bersalah atas 40 pertuduhan bersubahat dengan suaminya bagi kes suapan membabitkan nilai RM1 juta, di Mahkamah Sesyen Alor Setar di sini pada Isnin.

Tertuduh, Norlaila Puteh membuat pengakuan terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Berdasarkan pertuduhan, Norlaila didakwa telah bersubahat dengan suaminya yang bekerja sebagai ketua jualan di syarikat Nitori (M) Sdn Berhad, untuk menerima suapan menerusi 40 keping cek bernilai RM25,000 setiap satu daripada syarikat Ga Yee Furniture melalui akaun tertuduh.

Ianya adalah sebagai dorongan bagi memastikan syarikat Ga Yee Furniture kekal sebagai pembekal perabot utama kepada syarikat suaminya itu.

Kesemua kesalahan terbabit didakwa dilakukan antara 9 Oktober 2013 hingga 13 Februari 2017 di Ambank Cawangan Alor Setar, Kedah.

Susulan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 28(1)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama.

Hakim membenarkan Norlaila diikat jamin sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 September sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Tan Sew Ping, manakala tertuduh diwakili peguam K. Paramanathan.