NATIONAL
Suri rumah rugi lebih RM150,000 terperdaya skim pelaburan tidak wujud
Polis menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat serta individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang suri rumah kerugian RM150,190 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi skim yang diiklankan di Facebook.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud yang diiklankan di Facebook.
- Mangsa membuat 13 transaksi pembayaran dan menerima keuntungan RM11,600 sebelum menyedari ditipu.
- Ketua Polis Pahang menasihatkan orang ramai untuk membuat semakan menyeluruh terhadap platform pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 58 tahun telah berurusan dengan tiga individu melalui WhatsApp selepas melihat iklan itu pada 21 Jan dan diarahkan memuat turun aplikasi 'Tung Shing' serta menyertai kumpulan WhatsApp "D2 Stock Market" dan "D02 AID VIP Group".
"Dalam tempoh 23 Feb hingga 18 April mangsa telah membuat 13 transaksi pembayaran ke dua akaun berbeza dengan menggunakan wang simpanan peribadinya. Pada pertengahan April mangsa telah menerima keuntungan RM11,600," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata wanita itu mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan baki pelaburan seperti dijanjikan malah mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan hasil pelaburan.
Susulan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat serta individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
"Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan," katanya.
-- BERNAMA