MALAYSIA

Suri rumah rugi lebih RM26,000 terperdaya peraduan cabutan bertuah di TikTok

Bernama 17/07/2025 | 05:20 MYT
Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima pulangan ratusan ribu ringgit seperti dijanjikan. - Gambar hiasan
TANGKAK: Polis mengesahkan seorang suri rumah kerugian RM26,060 selepas terperdaya penipuan peraduan cabutan bertuah dalam talian yang menjanjikan pulangan lumayan.


Ringkasan AI
  • Seorang suri rumah berusia 55 tahun kerugian RM26,060 selepas terpedaya dengan penipuan peraduan cabutan bertuah dalam talian yang dijanjikan pulangan lumayan melalui aplikasi TikTok.
  • Mangsa membuat 12 transaksi ke enam akaun bank berbeza dari 8 hingga 15 Julai sebelum menyedari ditipu apabila tidak menerima pulangan seperti dijanjikan, lalu membuat laporan polis.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan akaun yang digunakan dipercayai akaun keldai.


Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata mangsa berusia 55 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan peraduan berkenaan, yang dilihat menerusi aplikasi TikTok di telefon pintarnya pada 8 Julai lepas.

"Mangsa kemudian berhubung dengan suspek dan telah dipengaruhi untuk membuat 12 transaksi secara berperingkat dari 8 hingga 15 Julai lepas ke enam akaun bank berbeza yang dipercayai akaun keldai," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak menerima pulangan ratusan ribu ringgit seperti dijanjikan, sebelum membuat laporan di Balai Polis Tangkak semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA



#kes penipuan #TikTok #warga emas #cabutan bertuah