NATIONAL
Suri rumah rugi RM150,000 diperdaya sindiket tawaran kerja
Mangsa dijanjikan komisen 10% dan diminta membuat pembayaran ke sembilan akaun bank berbeza untuk tugasan kononnya menaikkan rating hotel, namun tidak menerima bayaran seperti dijanjikan. - Gambar hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang suri rumah kerugian RM158,498.89 selepas diperdaya sindiket tawaran kerja tidak wujud secara dalam talian, awal bulan ini.
Ringkasan AI
- Seorang suri rumah berusia 30 tahun kerugian RM158,498.89 selepas terpedaya dengan tawaran kerja palsu secara dalam talian yang kononnya melibatkan tempahan bilik hotel.
- Mangsa dijanjikan komisen 10% dan diminta membuat pembayaran ke sembilan akaun bank berbeza untuk tugasan menaikkan rating hotel, namun tidak menerima bayaran seperti dijanjikan.
- Mangsa menggunakan wang modal perniagaan bapanya dan membuat laporan polis selepas gagal menghubungi suspek. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata wanita berumur 30 tahun itu pada mulanya tertarik dengan iklan tawaran kerja membuat tempahan bilik hotel itu di laman sosial pada 9 Mei, dan dijanjikan komisen 10 peratus daripada modal dikeluarkan.
Beliau berkata tugasan itu kononnya untuk menaikkan rating hotel, dengan wanita itu dikehendaki menekan pautan diberikan bagi memilih bilik hotel dan menghantar gambar serta bukti pembayaran setelah selesai tugasan.
"Wanita itu yang teruja kerana menerima komisen tugasan pertama, telah membuat tugasan lain melibatkan pembayaran RM158,498.89 secara berperingkat ke sembilan akaun bank," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Azli berkata suri rumah yang menggunakan wang modal perniagaan bapanya berasa panik apabila tidak menerima komisen dijanjikan, selain gagal menghubungi suspek.
Beliau berkata wanita itu kemudiannya membuat laporan polis pada 11.42 pagi semalam, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA