Suri rumah terselamat daripada dipatuk ular tedung selar

Ruzaini Zulkepli
April 11, 2018 10:01 MYT
ANGGOTA APM Beaufort sedang menjalankan operasi menangkap ular berkenaan di Kampung Takuli, Beaufort, petang tadi. - Foto ihsan APM Beaufort
Seorang suri rumah bernasib baik selepas sempat melarikan diri sebaik sahaja didatangi seekor ular tedung selar sepanjang lima meter dengan berat lima kilogram yang tiba-tiba muncul di rumahnya dalam kejadian di Kampung Takuli, dekat sini, petang tadi.
Dalam kejadian jam kira-kira 2 petang Rabu itu, pengadu, Rose Embu, 56, dikatakan sedang tidur di ruang tamu rumahnya sebelum dikejutkan dengan insiden berkenaan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort Mohd Mayroof Koibil berkata, pengadu yang tersentak dengan kehadiran reptilia itu kemudiannya bergegas keluar rumahnya untuk menyelamatkan diri.
"Ketika kejadian, suri rumah itu sedang tidur di kawasan ruang tamu dan sebaik sahaja terjaga, dia dikejutkan dengan kehadiran ular tedung di sebelahnya.
"Tanpa berlengah, pengadu bergegas melarikan diri kerana khuatir dipatuk oleh reptilia berbisa itu," katanya ketika dihubungi, Astro AWANI, hari ini.
Beliau berkata, wanita terbabit kemudiannya menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan sebelum sepasukan anggota APM Beaufort dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan bantuan.
"Sebuah jentera dengan kekuatan seramai tiga anggota dikejarkan ke lokasi sebaik menerima panggilan pengadu.
"Setibanya di rumah berkenaan, kita dapati ular tedung itu sedang berlingkar di satu sudut dan pasukan yang bertugas kemudiannya berjaya memerangkap reptilia berbisa tersebut dengan menggunakan peralatan khas dan tali penjerat kira-kira 3.19 petang tadi," katanya.
#APM #Beaufort #Kampung Takuli #Mohd Mayroof Koibil #reptilia #Rose Embu #Suri Rumah #ular tedung