Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) ‘tidak gopah’ dalam cadangannya untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja untuk penyiasatan isu penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dengan menggesa untuk menubuhkan satu Suruhanjaya Diraja, Perkasa berkata sebenarnya mereka membantu kerajaan dalam usaha membersihkan nama 1MDB dan nama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak .

Presiden Perkasa, Ibrahim Ali, dalam satu sidang media berkata, “Najib telah berkata 1MDB dalam keadaan bagus dan operasinya di bawah pengurusan yang baik.

"Mengapa tidak kita mengambil kenyataan tersebut pada nilai muka dan menubuhkan suruhanjaya untuk siasatan tersebut".

Apabila ditanya tentang usul penubuhan Suruhanjaya Diraja sebelum ini yang telah ditolak di parlimen, beliau berkata, "kami akan terus berusaha untuk melaksanakan idea penubuhan Suruhanjaya Diraja untuk siasatan".

Beliau berkata pada masa ini Perkasa tidak menuduh sesiapa dan hanya mahu mencari kebenaran demi rakyat dan negara.

Juga, dengan penubuhan Suruhanjaya Diraja, Ibrahim berkata, "ini akan membantu selesaikan semua dakwaan atas Perdana Menteri dan isterinya.

Walaupun terdapat banyak persoalan yang dikemukakan oleh beberapa portal berita dan tokoh-tokoh politik, Perkasa telah membuat keputusan untuk mengambil kira semua fakta sebelum memberi sebarang kenyataan.

"Seperti yang anda tahu, Malaysia menjadi perhatian pelbagai media luar negara dan sebab itulah kita perlu berhati-hati dengan sebarang laporan media luar negara.

"Sebab itu kami telah mengambil masa untuk mengumpul maklumat daripada sumber-sumber berita tempatan dan luar negara yang berbeza dan kenyataan tokoh politik seperti Tun Dr Mahathir, Tun Daim Zainuddin dan juga blogger terkenal A.Kadir Jasin," katanya.

Ibrahim juga berkata Perkasa telah sentiasa memperjuangkan hal-hal rakyat dan menyuarakan pendapat dalam isu yang berkaitan dengan negara.

"Walaupun ramai yang mendakwa Perkasa telah mendiamkan diri dalam menangani skandal 1MDB, saya ingin menyatakan bahawa Perkasa tidak terburu-buru bertindak balas kepada isu yang serumit ini," katanya.

Satu diskusi tertutup telah diadakan petang tadi untuk membincangkan isu 1MDB antara Majlis Tertinggi Perkasa, biro ekonomi Perkasa dan biro pemantauan integriti Perkasa.

Perbincangan tertutup anjuran Perkasa itu telah dihadiri oleh lebih kurang seramai 45 orang ahli daripada bahagian masing-masing untuk perbincangan mencari kebenaran demi kepentingan rakyat dan negara.