KOTA MARUDU:Remaja yang disyaki mengamuk dengan parang dan membunuh ahli keluarga bekas tunangnya di Kampung Kuyuh, Pitas, Sabtu lalu, ditahan selepas keluar dari persembunyian akibat kelaparan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah berkata, suspek dikesan masuk ke rumah seorang saudara di Kampung Binanjar, Paitan, di sini, jam 8 malam Isnin.

Katanya, selepas mendapat maklumat itu, pasukannya menyerbu rumah berkenaan dan berjaya memberkas suspek.

"Selepas kejadian di Pitas, suspek telah melarikan diri ke kampungnya di Paitan dan menyembunyikan diri dalam kawasan hutan di tepi kampung itu.

"Suspek bagaimanapun masuk ke rumah saudaranya kerana dipercayai kelaparan. Pasukan kita yang membuat pemantauan di kawasan itu kemudian menangkapnya," katanya di sini pada Isnin malam.

Mohd Izaan berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Marudu untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian jam 11.15 malam Sabtu lalu, Habibah Abungon, 68, mati akibat kecederaan parah dipercayai selepas diserang suspek yang bersenjatakan parang di Kampung Kuyuh, Pitas.

Ia dipercayai berikutan anak wanita itu memutuskan pertunangan dengan suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.