Suspek kes tetak di Manir diminta serah diri

Bernama
Julai 13, 2016 10:35 MYT
Orang ramai yang tahu di mana M. Suhaimi Mohd atau Kemik (gambar) berada atau mempunyai maklumat mengenai Kemik diminta tampil di balai polis berdekatan. -Bernama
Polis Terengganu percaya suspek utama kes tetak seorang individu di Jalan Buluh Gading, Manir, Khamis lepas, masih berada dan bersembunyi di negeri ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Wan Abdul Aziz Wan Hamzah berkata pihaknya kini turut meminta bantuan pelbagai pihak termasuk menyebarkan gambar suspek M. Suhaimi Mohd, 31, atau lebih dikenali sebagai Kemik di media serta mendapatkan maklumat daripada rakan-rakannya.
"Kita percaya suspek masih bersembunyi di negeri ini dan kita yakin dapat menahan suspek tidak lama lagi.
"Kita juga meminta bantuan daripada rakan-rakan suspek yang tahu di mana dia berada sekarang untuk tampil memberi maklumat kepada polis," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, di sini hari ini.
Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri Batu Rakit, Bazlan Abdul Rahman.
Wan Abdul Aziz berkata Kemik yang berasal dari Kampung Kubang Jela, Manir sebelum ini turut memiliki satu rekod jenayah melibatkan Seksyen 325 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencederakan orang.
Beliau percaya Kemik sedang bersembunyi dan masih berbelah-bahagi untuk menyerah diri kepada pihak polis.
"Saya berharap kawan-kawan suspek yang mana rapat dengannya dapat memujuk beliau agar menyerah diri kepada pihak polis dengan segera," katanya.
Beliau juga meminta orang ramai yang tahu di mana Kemik berada atau mempunyai maklumat mengenai Kemik agar tampil di balai polis berdekatan.
Dalam kejadian itu, seorang pemandu terpaksa dikejarkan ke hospital apabila ditetak dengan parang oleh seorang pemandu lain selepas mangsa dikatakan membunyikan hon kepada pemandu yang memotong keretanya di Jalan Buluh Gading.
Mangsa yang berusia 42 tahun dan memandu Honda City bersama isteri dan dua anak mereka, ketika kejadian dilaporkan sedang terkandas dalam kesesakan jalan raya semasa dalam perjalanan dari Kemaman ke Besut.
#Jalan Buluh Gading #Kemik #Polis Terengganu #Suhaimi Mohd #suspek utama kes tetak