NILAI:Polis telah mengenal pasti suspek kes pencemaran Sungai Batang Benar dan kini dalam proses menahan individu tersebut.

Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata suspek bukan penduduk tempatan, sebaliknya berasal dari negeri lain.

"Pegawai dan anggota kita telahpun berada di sebuah negeri dan sebentar tadi saya telah berhubung dengan mereka dan mereka positif akan dapat menahan suspek.

"Apabila suspek ditahan, kita akan bawa suspek ke Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya siasatan dijalankan menurut Seksyen 430 Kanun Keseksaan susulan laporan polis yang dibuat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) semalam.

Terdahulu, beliau meninjau kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai yang telah dikenal pasti sebagai lokasi utama punca pencemaran yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sejak Ahad.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan yang turut meninjau lokasi berkenaan berkata kerja-kerja pembersihan di lokasi pencemaran sedang dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Seremban dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.

"Setakat ini kita belum pasti sama ada sisa buangan itu adalah sisa buangan berjadual ataupun tidak. Sampel telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis," katanya, menambah keputusan dijangka diketahui dalam masa terdekat.

Semalam, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dilapor berkata sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, iaitu punca pencemaran di sungai berkenaan.

Pencemaran itu menyebabkan dua LRA iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

-- BERNAMA