MALAYSIA

Suspek ragut maut dipukul orang awam di Cheras

Bernama 25/07/2025 | 08:45 MYT
Susulan kejadian, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun pada 7.46 malam hari kejadian bagi membantu siasatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas dipukul orang awam ketika cuba melakukan jenayah ragut terhadap seorang guru tadika wanita di kawasan perumahan berhampiran Batu 9, Cheras pada Selasa lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki dipercayai warga asing maut selepas dipukul orang awam ketika cuba melakukan jenayah ragut terhadap seorang guru tadika wanita di kawasan perumahan Batu 9, Cheras; suspek disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
  • Polis menahan lapan lelaki tempatan berusia 22 hingga 72 tahun bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan; bedah siasat suspek diklasifikasikan sebagai -pending laboratory analysis-.
  • Suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan orang ramai yang mempunyai maklumat atau butiran identiti si mati diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew atau balai polis berdekatan.


Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu pada 11.10 pagi.

"Anggota dari Balai Polis Batu 9 Cheras yang dikejarkan ke lokasi mendapati seorang lelaki terbaring dalam keadaan cedera serta tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan pasukan perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian mengesahkan suspek telah meninggal dunia, dipercayai akibat dipukul orang awam.

"Suspek ragut itu berkulit cerah dengan anggaran ketinggian 160 sentimeter, memakai kemeja T berwarna hitam dan seluar pendek hitam bercorak logo 'Adidas' serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri," katanya.

Naazron berkata bedah siasat telah dijalankan pada hari sama dan punca kematian diklasifikasikan sebagai "pending laboratory analysis" oleh pakar patologi.

Susulan kejadian, polis menahan lapan lelaki tempatan berusia antara 22 hingga 72 tahun pada 7.46 malam hari kejadian bagi membantu siasatan.

"Kesemua individu direman enam hari hingga 28 Julai ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, boleh dikenakan tidak kurang 12 sebatan," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau butiran identiti si mati diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP Ong Eng Yew di talian 012-696 6849 atau mana-mana balai polis berdekatan.

-- BERNAMA


#Kes ragut #peragut dipukul #peragut maut dipukul #PDRM