NIBONG TEBAL: Polis menahan reman suspek rogol dan bunuh seorang kerani wanita selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Supritendan Lee Chong Chern ketika dihubungi pada Ahad berkata suspek yang ditahan pada jam 10 malam Sabtu direman bermula semalam hingga 4 September depan.

Terdahulu, Chong Chern berkata suspek telah dibawa ke lokasi kejadian di sebuah taman perumahan di Nibong Tebal, tengah hari tadi.

Suspek berusia 29 tahun itu dilihat diiringi dua anggota polis selain tangan digari dan memakai baju lokap  dan beredar dari rumah mangsa kira kira jam 1.40 tengah hari tadi.

BACA: Polis bawa suspek kes rogol, bunuh dan liwat kerani ke lokasi kejadian

BACA: Mayat mangsa rogol, liwat disembunyi bawah katil

Katanya, tindakan membawa suspek ke lokasi berkenaan adalah bagi mendapatkan maklumat lanjut terhadap perbuatannya itu.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam kejadian pada Sabtu itu, seorang kerani wanita  berusia 40 tahun maut dirumahnya di sini dipercayai dirogol dan diliwat sebelum mayatnya ditemui disembunyikan di bawah katil di dalam bilik dalam keadaan tidak berbaju.

Suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam rumah mangsa melalui tingkap di bahagian belakang rumah mangsa.