MALAYSIA

Suspek tular pegang parang, tunjuk jari tengah sudah ditahan

Sinar Harian 06/02/2026 | 05:44 MYT
Lelaki yang tular dalam sebuah video memegang parang serta menunjukkan isyarat jari tengah kepada pengguna jalan raya di Ipoh berjaya ditangkap polis pada Khamis. - Foto Sinar Harian
IPOH: Lelaki yang tular dalam sebuah video memegang parang serta menunjukkan isyarat jari tengah kepada pengguna jalan raya di bandar raya ini berjaya ditangkap polis pada Khamis.

Suspek warga tempatan berusia 28 tahun itu ditahan kira-kira jam 6.15 petang di hadapan sebuah restoran terkenal di Greentown hasil tindakan pantas Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, semakan menunjukkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan lima kes jenayah serta tiga kes berkaitan dadah.

"Dalam tangkapan ini, polis turut merampas sebuah kereta jenis Honda Civic EJ6 1.6cc, selain satu set anak kunci beserta alat kawalan jauh.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan atau perkataan yang dimaksudkan untuk mengaibkan kehormatan seseorang," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian dalam video tersebut dikenal pasti berlaku pada 15 Januari lalu kira-kira jam 9.26 malam di kawasan Simpang Empat Lampu Isyarat Jalan Raja Ekram, Taman Jubilee di sini.

"Polis akan mendapatkan perintah reman terhadap suspek hari ini. Kertas siasatan akan dirujuk segera kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan tuduh," katanya.

Terdahulu polis memaklumkan telah mengenal pasti individu yang memegang parang dalam video berdurasi kira-kira 25 saat yang dimuat naik dan tular di media sosial pada Khamis.

Walaupun parang tersebut tidak digunakan sebagai senjata untuk melakukan ancaman secara langsung, perbuatan itu telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan orang awam yang menonton video tersebut. - Sinar Harian






#tunjuk jari tengah #Abang Zainal Abidin Abang Ahmad #reman #Ipoh #parang