Suspek utama kes bunuh lelaki di Port Dickson ditahan - Polis

Bernama
April 13, 2023 11:49 MYT
Supt Aidi Sham Mohamed berkata lelaki itu ditahan di Pengkalan Chepa, Kelantan kira-kira 1.15 tengah hari semalam. - Gambar fail/ Bernama
SEREMBAN: Polis menahan suspek utama bagi kes kematian seorang lelaki di Medan Selera Cina Pekan Lukut di Port Dickson pada 1 Mac lepas.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata lelaki itu ditahan di Pengkalan Chepa, Kelantan kira-kira 1.15 tengah hari semalam.
"Lelaki itu telah dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson dengan khidmat daripada Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Aidi Sham berkata lelaki berumur 38 tahun itu direman tujuh hari bermula hari ini dan kertas siasatan akan dilengkapkan untuk rujukan pihak pendakwaan.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut selepas ditikam menggunakan objek tajam di hadapan Medan Selera Lukut kira-kira 7.35 malam pada 1 Mac.
Hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban mengesahkan kematian mangsa disebabkan luka tikaman di leher dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
-- BERNAMA
#bedah siasat #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #Jabatan Forensik #kes kematian