Suspek utama kes bunuh penjawat awam dicekup

Rohana Wahed
Ogos 7, 2018 11:36 MYT
Polis percaya, dengan penangkapan suspek, kes pembunuhan Nurnia Azalea Priscillia Edward, 26 tahun, yang turut diikat tangan dan kaki di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua selesai.
Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Begitulah yang terjadi kepada suspek utama kes bunuh seorang penjawat awam yang diburu polis sejak 2 Ogos lalu, yang berjaya dicekup di sebuah rumah panjang di Julau pagi tadi.
Suspek yang identitinya dikenal pasti sebagai Philip Uja, 42 tahun dikesan dan ditahan Polis Julau selepas beberapa intipan dilakukan.
Polis percaya, dengan penangkapan suspek, kes pembunuhan Nurnia Azalea Priscillia Edward, 26 tahun, yang turut diikat tangan dan kaki di bilik sewanya di Jalan Tiong Hua selesai.
Ini kerana suspek dipercayai orang terakhir yang berada di lokasi sebelum mangsa ditemui meninggal dunia.
Malah video suspek dirakam oleh sebuah kamera litar tertutup milik sebuah kedai telefon bimbit apabila cuba memecah kata laluan telefon bimbit milik mangsa.
Terdahulu, Ketua Siasatan Jenayah Sarawak, Senior Asisten Komisoner Denis Leong Soon Kuai ketika dihubungi mengesahkan penangkapan suspek.
"Suspek ditangkap kira-kira jam 10.40 pagi di sebuah rumah panjang di Julau.
"Dia akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
#302 Kanun Keseksaan #Denis Leong Soon Kuai #Jalan Tiong Hua #Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak #Nurnia Azalea Priscillia Edward #penjawat awam #Philip Uja #polis Julau #suspek