DREBAR
Suzuki S-Cross tiba di Malaysia

Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd (SMA) sudah menambah satu lagi model kenderaan pada barisan yang sebelum ini meliputi model-model Alto, Jimny, Grand Vitara dan tentunya Swift serta Swift Sport. (Import SX4 dan Kizashi telahpun dihentikan, tetapi mungkin masih ada beberapa unit yang boleh dibeli).
Suzuki S-Cross baharu ini adalah sebuah crossover segmen C yang menggunakan enjin M16A dengan kapasiti 1,586cc. Ia menghasilkan 117hp dan 156nm tork, cukup untuk memecut kenderaan ini dari rehat ke 100km/j dalam 11 saat. Pacuan hanya untuk roda hadapan, yang datang daripada kotak gear CVT.

Harus diingat bahawa enjin M16A ini terdahulu digunakan untuk Suzuki Swift generasi sebelum ini, sebelum ditukar kepada unit 1.4 liter sekarang. Unit M16A ini masih lagi berkhidmat di dalam Swift Sport, tetapi dengan talaan yang lebih tinggi.
Mengikut ujian dalaman yang diaturkan untuk mendapat anggaran penggunaan petrol mengikut keadaan di Malaysia, kadar penggunaan untuk model S-Cross ini adalah 14.9km/L (menyamai 6.7 liter/100km). Perkiraan ini berdasarkan keadaan memandu bercampur-campur (lebuhraya dan bandar).
Dibuat dan diimport daripada kilang Magyar Suzuki di hungary, S-Cross ini dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri yang sudahpun standard pada kebanyakkan kereta zaman ini. Ini termasuk pengelap cermin automatik, lampu utama HID, lampu DRL, ‘keyless start’ dan juga skrin sentuh 7 inci untuk sistem navigasi. Bumbung panoramik juga standard.

Dari segi keselamatan aktif dan pasif, Suzuki telah melengkapkan crossover ini dengan 7 beg udara, electronic safety programme (ESP), hill-hold control dan juga kerangka badan yang direka dengan teknologi TECT (Total Effectiveness Control Technology).
Harga Suzuki S-Cross serba baharu ini adalah RM129,888 (semenanjung, harga atas jalan tanpa insurans); dan RM133,888 serta RM134,888 masing-masing untuk Sabah dan Sarawak.
Setiap pembelian disertai dengan pakej waranti tambahan untuk 5 tahun atau 150,000km, termasuk bantuan tepi jalan 24-jam dan beberapa lagi insentif menarik.
