Sektor swasta digalak untuk turut terlibat dalam pembinaan lebih banyak projek pembangunan hartanah yang memenuhi keperluan kumpulan kelas pertengahan atau M40, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata projek yang dibangunkan perlu lebih fleksibel dan unik, umpamanya menggunakan skim sewa beli perumahan yang sesuai dengan kedudukan kewangan kumpulan itu.

"Kumpulan profesional muda seperti peguam, arkitek... lepasan universiti, apabila mereka mula bekerja, sudah tentu mereka perlukan rumah yang mampu dimiliki dan sejajar dengan harapan mereka sebagai profesional muda.

"Projek perumahan perlu ada fleksibiliti dan mampu milik, sesuai dengan kedudukan ekonomi kumpulan profesional ini," katanya ketika merasmikan projek perumahan Maju Kuala Lumpur, sebuah projek pembangunan bercampur di Sungai Besi, dekat sini dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM2.5 bilion.

M40 merujuk kepada kumpulan berpendapatan antara RM3,860 hingga RM8,320.

Turut hadir Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Pengarah Maju Holdings Sdn Bhd Mohd Faiq Abu Sahid.

Perdana Menteri berkata ini kerana kumpulan itu mungkin merasa 'terpinggir dan tidak dihiraukan memandangkan mereka mempunyai pendapatan yang agak baik dan mampu 'berdikari'.

"Apa yang kita perlu lakukan ialah menggalakkan sektor swasta untuk memainkan peranan dalam lingkungan dasar dan panduan yang diberikan kerajaan," katanya.

Najib berkata selain itu kerajaan juga mensasarkan satu juta projek perumahan dalam tempoh lima tahun untuk golongan B40 atau kumpulan berpendapatan bawah RM4,000.

Katanya projek perumahan itu antaranya melibatkan pembinaan oleh Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M).

Projek perumahan Maju Kuala Lumpur dibangunkan oleh ASM Development Sdn Bhd, unit di bawah Maju Holdings Sdn Bhd yang menawarkan sejumlah 4,200 unit pangsapuri tiga bilik di tujuh menara kediaman setinggi 29 tingkat.

Projek perumahan ini menawarkan Skim Sewa Beli Perumahan Maju (MLPS) yang unik dan inovatif, di mana pembeli perlu membayar tempahan sebanyak RM1,800 selama enam bulan dan RM300 sebulan untuk tempoh 42 bulan. Harga bagi seunit hartanah ini ialah RM590,000 seunit.

Projek itu dijangka siap pada 2019.

Ia turut memiliki podium komersial sembilan tingkat dengan anggaran kasar keluasan lebih dua juta kaki persegi merangkumi ruang runcit, komersial dan santai.

Maju Kuala Lumpur akan mempunyai akses terus ke lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di barat dan Lebuhraya Besraya di timur selain mendapat manfaat daripada sebuah persimpangan bertingkat trafik yang dipertingkatkan.