MALAYSIA

SWCorp pasang CCTV pantau aktiviti pembuangan sampah haram di Melaka

Bernama 20/07/2025 | 06:50 MYT
Empat daripada keseluruhan 12 lokasi di sekitar Melaka dikenal pasti sebagai tapak pembuangan sampah haram berulang telah dipasang CCTV. - Gambar hiasan
MELAKA: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Melaka komited menyelesaikan aktiviti pembuangan sampah haram dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau dan mengesan pihak tidak bertanggungjawab.


Ringkasan AI
  • SWCorp Melaka memasang CCTV mudah alih di empat lokasi pembuangan sampah haram berulang iaitu Telok Mas, Alor Gajah, Batu Berendam dan Jasin, sebagai langkah membanteras aktiviti pembuangan sisa tidak bertanggungjawab dan memudahkan tindakan pendakwaan.
  • Pemasangan CCTV menunjukkan keberkesanan dengan pengurangan pembuangan sampah haram antara 60 hingga 70 peratus. Tapak-tapak ini kebanyakannya digunakan oleh operator pembersihan tidak berlesen dari sektor pembinaan, komersial dan perindustrian.
  • SWCorp turut melaksanakan Kempen Bandar Bersih di kawasan pekan dan bandar tanpa mengira sempadan perkhidmatan, termasuk melalui program gotong-royong melibatkan 180 peserta di Kampung Pengkalan Rama Tengah, DUN Duyong.


Pengarahnya Nor Zaki Md Nor berkata setakat ini, empat daripada keseluruhan 12 lokasi di sekitar negeri itu dikenal pasti sebagai tapak pembuangan sampah haram berulang telah dipasang CCTV secara mobile (mudah alih).

Beliau berkata lokasi berkenaan ialah Telok Mas, Alor Gajah, Batu Berendam serta Jasin dan inisiatif itu akan dilaksanakan di beberapa lokasi lain secara berperingkat.

"Pemasangan CCTV ialah inisiatif baharu yang kita laksanakan bermula tahun ini supaya perbuatan tidak bertangggungjawab itu dapat dibanteras sekali gus mengenal pasti pelaku terlibat dan memudahkan tindakan pendakwaan.

"Setakat ini, kita dapat lihat keberkesanan langkah itu dan pembuangan sampah haram dapat dikurangkan antara 60 hingga 70 peratus sehingga tapak terlibat ditutup daripada terus dijadikan tempat pembuangan sampah," katanya kepada pemberita di Kampung Pengkalan Rama Tengah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Program Gotong-royong Cuci Duyong sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

Nor Zaki berkata kebanyakan tapak pembuangan sampah haram itu menjadi kawasan pembuangan sisa pepejal bagi sektor pembinaan dan komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI) melibatkan operator yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan tidak berlesen.

Beliau berkata pada tahun lepas terdapat satu kes melibatkan aktiviti pembuangan sampah haram berjaya didakwa di mahkamah yang memperuntukkan denda sebanyak RM20,000.

Dalam pada itu, beliau berkata Kempen Bandar Bersih sedang dilaksanakan dengan memberi tumpuan pembersihan di kawasan pekan atau bandar sempena Program WRUR.

"Kempen berkenaan melibatkan kerja-kerja pembersihan menyeluruh tanpa mengambil kira sama ada ia dalam kawasan perkhidmatan kita atau tidak," katanya.

Sementara itu, Mohd Noor Helmy berkata program gotong-royong berkenaan melibatkan penyertaan 180 orang terdiri petugas SWM Environment, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta penduduk setempat.

Beliau berkata pemilihan Kampung Pengkalan Rama Tengah bagi menyelesaikan isu pembersihan bukan di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan SWM Environment.

-- BERNAMA



#SWCorp #sampah haram #Melaka #CCTV