Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (SYABAS) meminta penduduk yang terlibat dengan pelan catuan memahami konsep dan proses yang akan dijalankan dalam pengagihan air ke kawasan sasar.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred menjelaskan, pihaknya tidak pernah menjanjikan bekalan air akan tiba seawal 9 pagi namun berkata hanya bermula pada jam berkenaan.

"Saya rasa orang tidak faham.‎ Kita tidak pernah cakap pukul 9 pagi semua kawasan akan ada air. Kita cakap proses pembukaan saluran akan bermula pada pukul 9 pagi.‎

Orang ramai di zon yg dicatu akan mendapat air secara berperingkat selepas itu sehingga jam 4 petang," katanya menerusi satu sistem pesanan WhatsApp kepada Astro AWANI, di sini.

Sebelum ini, tinjauan di sekitar Sepang menyiarkan keluhan penduduk yang merasakan 'tertipu' dengan pelan catuan SYABAS.

Rata-rata mendakwa SYABAS tidak menunaikan janji untuk menyalurkan air bersih ke kediaman mereka seawal jam 9 pagi.

‎Tambah Priscilla, proses penyaluran air ke rumah penduduk akan mengambil masa sehingga pukul 4 petang bergantung kepada lokasi dan beberapa perkara berkaitan.

"Maksudnya ia ‎akan mengambil masa hingga 4 petang Khamis untuk setengah-setengah kawasan. Kita juga menjangkakan semua kawasan yg dicatu boleh mendapat air pada jam berkenaan.

"Bagaimanapun ia tetap‎ tertakluk kepada lokasi dan kawasan tinggi selalunya memakan masa lebih‎," ujarnya.

Pelan catuan air SYABAS yang dimulakan pada Khamis hanya melibatkan kawasan-kawasan yang mengalami masalah bekalan iaitu Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Catuan bermakna bekalan air akan disediakan untuk dua hari dan dua hari lagi tanpa air di beberapa kawasan terlibat.

Sebanyak 70 kawasan yang terlibat dibahagikan kepada dua zon iaitu Zon 1 dan Zon 2 dalam Wilayah Hulu Langat dan dua zon lagi, Zon 1 dan Zon 2 dalam Wilayah Kuala Langat dan Sepang.

Kedua-dua Zon A dan Zon B ini akan bergilir-gilir menerima bekalan air selama dua hari dan dua hari tiada air yang dijangka berlarutan sehingga akhir bulan Mac.