Skip to main content

Malaysia

Syamsul Farizz terajui ECERDC, pacu agenda pembangunan ECER 2030

CEO ECERDC
Akmal Nasrullah (kiri) berkata engalaman Syamsul Farizz dalam pelaburan, infrastruktur dan pengurusan projek berskala besar diyakini dapat memperkukuh keupayaan ECERDC - Foto Instagram Epumalaysia
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi hari ini mengumumkan pelantikan Syamsul Farizz Nadzeri sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) yang baharu, berkuat kuasa 15 Julai bagi menggantikan Datuk Baidzawi Che Mat.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pelantikan itu bertepatan dengan permulaan pelaksanaan Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur 2026-2030, yang akan memandu pembangunan wilayah secara lebih mampan, inklusif dan berdaya saing.

Ujarnya, kepimpinan baharu ECERDC akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan projek pemangkin, pemudahcaraan pelaburan berkualiti serta pengukuhan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan sektor swasta.

"Pelantikan ini dibuat pada fasa penting pelaksanaan agenda pembangunan ECER. Keutamaan kita ialah memastikan pelaburan dan projek yang dirancang diterjemahkan kepada pekerjaan berkualiti, peningkatan pendapatan serta peluang ekonomi yang lebih luas kepada rakyat dan perusahaan tempatan.

"Pengalaman Syamsul Farizz dalam pelaburan, infrastruktur dan pengurusan projek berskala besar diyakini dapat memperkukuh keupayaan ECERDC untuk melaksanakan mandat ini dengan berkesan dan berorientasikan hasil," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan itu, Syamsul Farizz akan mengetuai usaha memudah cara pelaburan, pelaksanaan projek pembangunan pemangkin serta program sosioekonomi di seluruh Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Beliau mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam sektor hartanah, infrastruktur dan pelaburan, termasuk dalam bidang tadbir urus korporat, strategi komersial, pengurusan pelaburan serta pelaksanaan projek berskala besar.

Sebelum menyertai ECERDC, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan kanan di Pelaburan Hartanah Berhad dan PROLINTAS, selain berkhidmat di Prasarana Malaysia Berhad, Bombardier Transportation serta Scomi Group Berhad.

Syamsul Farizz turut mempunyai pengalaman penugasan antarabangsa di Arab Saudi dan India, selain merupakan Project Management Professional serta ahli Royal Institution of Chartered Surveyors.

Syamsul Farizz memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Lancaster University, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Kementerian Ekonomi menambah, di bawah kepimpinan baharu itu, ECERDC akan terus memperkukuh peranannya sebagai agensi peneraju pembangunan wilayah menerusi pemacuan pelaburan strategik, pelaksanaan projek berimpak tinggi serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat di Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

 

Must Watch Video

Advertisement