KUALA LUMPUR: Syarat kebenaran rentas negeri untuk individu yang sudah mengambil dua dos vaksin hanya meliputi golongan tertentu sahaja.

Pakar Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, rakyat perlu jaminan saksama untuk mendapat kemudahan kesihatan sebelum menentukan sesuatu polisi berkenaan isu berkenaan.

"Ia tidak meliputi sebahagian besar masyarakat seluruh negara dan kita lihat di situ, tidak saksama dari segi penerimaan program berkenaan.

"Jadi saya mohon supaya kita kembali ke dasar yang asal iaitu memberikan keutamaan kepada golongan yang telah disenaraikan dan selepas kita mencapai kadar tertentu mereka telah menerima vaksin di kalangan mereka yang rentan, mungkin syarat tersebut boleh dikenakan.

BACA: Usul benarkan penerima dua dos vaksin rentas negeri akan dibawa ke mesyuarat MKN - Ismail Sabri

"Tetapi untuk peringkat permulaan ia boleh dikenakan dengan syarat mereka benar-benar memerlukan keperluan untuk merentas negeri untuk tujuan kerja dan juga untuk tujuan ekonomi tetapi untuk seluruh masyarakat pada pandangan saya ia belum lagi wajar untuk dilaksanakan," katanya semasa sidang video di Astro AWANI pada Jumaat.

BACA: Mungkin boleh rentas negeri, daerah jika sudah terima dua dos vaksin - Muhyiddin

Pada Khamis, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berkata, penerima suntikan dua dos vaksin COVID-19 mungkin akan diberikan kebenaran untuk merentas negeri tanpa sebarang halangan.

Jelasnya, perkara itu adalah satu galakan dan kemudahan yang boleh didapati kepada individu yang menerima vaksin.

Dalam pada itu, Dr Malina berpendapat, pematuhan SOP perlu diteruskan selain galakan masyarakat untuk terus mendaftar mendapatkan vaksin.

Katanya lagi, kebenaran rentas negeri jika dilaksanakan akan melibatkan mereka yang tidak boleh divaksin tetapi yang tidak boleh mencapai atau akses terhadap vaksin tersebut.

Ujarnya, setiap individu tidak mempunyai peluang sama untuk mendapatkan vaksin secepat yang mungkin.