NATIONAL

Syarikat, bekas Timbalan Pengarah JAS didakwa lupus buangan terjadual secara haram

Bernama 29/05/2025 | 08:01 MYT
Sivanathiran (gambar kanan) dan Chan Kwai Soon hadir ke di Mahkamah Sesyen di Seremban pada Khamis. - Foto Sinar Harian
SEREMBAN: Sebuah syarikat dan dua pengarahnya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melupuskan buangan terjadual secara haram, di Port Dickson tahun lepas.


Ringkasan AI
  • Pendakwaan atas pelupusan buangan terjadual secara haram: Syarikat Nature Energy Products Sdn Bhd dan dua pengarahnya didakwa kerana melupuskan buangan pelarut organik tanpa kelulusan di Port Dickson pada Oktober 2024, dan boleh berdepan hukuman penjara serta denda sehingga RM10 juta jika sabit kesalahan.
  • Proses jaminan dan syarat dikenakan: Mahkamah membenarkan jaminan RM9,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat mereka melapor diri ke JAS Negeri Sembilan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
  • Sebutan semula kes: Kes akan disebut semula pada 3 Julai 2025 untuk tindakan lanjut di Mahkamah Sesyen.


Syarikat Nature Energy Products Sdn Bhd bersama dua pengarahnya S. Sivanathiran, 62, yang juga merupakan bekas Timbalan Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan Chan Kwai Soon, 47, selaku orang kena saman (OKS), mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.

Syarikat itu bersama kedua-dua OKS didapati meletakkan buangan terjadual iaitu buangan pelarut organik bukan terhalogen, seperti dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 tanpa terlebih dahulu mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lot 11224, Mukim Jimah, Port Dickson pada 4.30 petang 14 Okt 2024, mengikut Seksyen 34B(1)(a), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 34B (4) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda minimum RM100,000 dan tidak melebihi RM10 juta.

Timbalan Pendakwa Raya JAS Nurliyana R. Azmi mencadangkan jaminan RM50,000 bagi setiap seorang OKS, beserta syarat tambahan iaitu pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris mewakili Sivanathiran dan Chan, memohon agar tiada jaminan dikenakan terhadap anak guam mereka atas alasan tiada indikasi menunjukkan OKS tidak akan hadir ke mahkamah, selain mereka memberikan kerjasama baik.

Hakim Mohamad Kamil Nizam membenarkan jaminan RM9,000 dengan seorang penjamin bagi setiap OKS, beserta syarat tambahan melapor diri di JAS Negeri Sembilan setiap bulan dan tidak mengganggu saksi sama ada secara sendiri atau melalui orang ketiga.

Sebutan semula kes ditetapkan 3 Julai ini.

-- BERNAMA



#bekas Timbalan Pengarah JAS #lupus barangan berjadual #Nature Energy Products #Port Dickson