Syarikat China setuju ambil pekerja tempatan untuk projek di Malaysia

Hasimi Muhamad
April 1, 2023 14:20 MYT
Anwar berkata, langkah tersebut adalah satu pembaharuan yang dipersetujui hasil sesi pertemuan dan dialog dengan lebih 50 syarikat utama di China. - Gambar fail
BEIJING: Syarikat-syarikat China bersetuju untuk mengutamakan tenaga kerja tempatan dalam projek-projek yang diusahakan di Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut adalah satu pembaharuan yang dipersetujui hasil sesi pertemuan dan dialog dengan lebih 50 syarikat utama di Negara Tanah Besar itu.
"Dalam pertemuan tersebut ada hal-hal yang mereka bangkitkan. Antaranya, bahawa mereka tidak seperti dulu, akan memberi penekanan supaya memberi ruang kepada rakyat untuk bekerja.
"Kalau dah memang peringkat awal tidak ada, memang akan diberikan latihan. Sementara itu, akan dibawa (golongan) profesional dan kepakaran dari negara China.
"Sekiranya kita kenal pasti itu sebagai satu keperluan, kita akan luluskan dalam masa yang cepat," katanya di sini pada Sabtu.
Perdana Menteri berkata demikian dalam sidang media bersama delegasi media Malaysia sempena lawatan rasmi empat hari ke China bermula 29 Mac lalu.
Dalam masa yang sama, Anwar berkata sebanyak RM170.07 bilion komitmen pelaburan yang diperoleh dari China akan diagihkan melibatkan beberapa projek yang telah dikenal pasti di hampir seluruh negara.
Jelas beliau, antara negeri yang terlibat ialah Selangor, Perak, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, serta Sabah dan Sarawak.
Selain itu, Perdana Menteri berkata Malaysia dan China bersetuju untuk melakukan penambahan ruang untuk kemasukan pelancong agar ia lebih dipermudahkan termasuk pengurusan visa dan frekuensi penerbangan.
"Kita bersetuju tadi pada prinsipnya ialah kaedah memudahkan, dan pegawai-pegawai diminta supaya menyegerakan (urusan). Tak payah tunggu daftar melalui ejen tetapi buat secara dalam talian.
"Kita tahu dalam peringkat sekarang ini, banyak (proses) kita ubah termasuk (soal pengambilan) pekerja asing.
"Kita juga akan memudahkan penerbangan dan kena runding dengan syarikat penerbangan. Menteri Pelancongan (Datuk Seri Tiong King Sing) mencadangkan agar syarikat penerbangan khas (ke China) untuk memudahkan seperti tiga penerbangan seminggu dari Korea ke Kota Kinabalu," tambah Anwar.
Dalam pada itu, Anwar memaklumkan telah mengundang Presiden China, Xi Jinping dan Premier Li Qiang ke Malaysia tahun depan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China.
#Anwar Ibrahim #China #pengambilan pekerja #pelaburan