Terkini: Kes Kematian Zara Qairina – Ikuti Perkembangan di Sini
MALAYSIA

Syarikat, dua pengarah didakwa guna logo SIRIM palsu pada tayar celup

Bernama 15/08/2025 | 08:40 MYT
Yip Wei Leong (kanan) dan Yip Wing Kee (kiri) ketika di Mahkamah Sesyen Sepang. - Gambar/ Bernama
SEPANG: Sebuah syarikat dan dua pengarah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan pelekat logo Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) palsu pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz, Februari lepas.


Ringkasan AI
  • Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd dan dua pengarahnya, Yip Wei Leong dan Yip Wing Kee, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan pelekat logo SIRIM palsu pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz tanpa kelulusan rasmi.
  • Kesalahan dilakukan pada 13 Februari di premis syarikat di Puchong dan didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Perihal Dagangan 2011, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
  • Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan diikat jamin RM10,000 setiap seorang, manakala tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 25 September; pendakwaan dikendalikan oleh KPDN.


Syarikat Yik Woh Tyre Enterprise Sdn Bhd, yang diwakili Pengarah Yip Wei Leong dan Yip Wing Kee, selaku Orang Kena Saman (OKS), bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan, Wei Leong, 43, dan Wing Kee, 70, didapati dalam perjalanan perdagangan membuat representasi palsu dengan menggunakan pelekat logo SIRIM MS 224:2005 pada 107 unit tayar celup pelbagai jenama dan saiz bagi tujuan pembekalan tanpa kelulusan SIRIM selaku pihak berwibawa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di No 11, 13 dan 15, Jalan Meranti 11, Meranti Jaya Industrial Park Puchong, di sini pada 11.30 pagi, 13 Feb.

Pertuduhan terhadap dua beranak itu dibuat mengikut Seksyen 21(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda maksimum RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda maksimum RM500,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, syarikat terbabit didakwa mengikut Seksyen 21(a) akta sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM1 juta.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Hafizi Abdul Halim dan pegawai pendakwa KPDN Nur Abyan Anuar, manakala kedua-dua OKS diwakili Aaron Chang.

Terdahulu, Mohd Hafizi memohon kedua-dua lelaki itu diikat jamin sebanyak RM20,000 seorang, bagaimanapun Chang memohon supaya jaminan dikurangkan atas faktor usia tertuduh dan kerjasama baik yang diberikan mereka.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang dan menetapkan 25 Sept untuk tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA



#Sirim #tayar celup #kes mahkamah #logo sirim