Skip to main content

Malaysia

Syarikat e-panggilan digalak sedia pilihan pemandu wanita bagi penumpang wanita

Sumber: BERNAMA
Loke berkata beliau turut meminta syarikat e-panggilan menyediakan ciri perkongsian kereta yang hanya melibatkan penumpang wanita. - Foto fail/BERNAMA
Advertisement

PUTRAJAYA: Syarikat perkhidmatan e-panggilan digalakkan menyediakan pilihan pemandu wanita kepada penumpang wanita sebagai langkah memperkukuh keselamatan dan keselesaan golongan itu, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pilihan itu penting bagi memastikan penumpang wanita mempunyai alternatif yang menjamin keselesaan dan keselamatan mereka ketika menggunakan perkhidmatan e-panggilan.

“Ini satu ciri yang saya harap pemimpin-pemimpin wanita kita ini dapat promosikan. Kalau ambil e-panggilan ada satu daripada ciri yang boleh anda pilih, iaitu kita boleh pilih pemandu wanita,” katanya ketika berucap merasmikan Kongres Wanita DAP Kebangsaan 2026 selaku Setiausaha Agung parti itu di sini pada Ahad.

Loke berkata beliau turut meminta syarikat e-panggilan menyediakan ciri perkongsian kereta yang hanya melibatkan penumpang wanita.

“Saya kata hendak letakkan antara ciri utama dalam perkongsian kereta itu ialah ia hanya untuk dalam kalangan penumpang wanita. Iaitu kalau nak kongsi, tidak boleh dengan lelaki, mesti dengan wanita. Itu antara ciri yang (mesti) boleh dipilih oleh penumpang,” katanya.

Beliau ketika mengulas mengenai perkhidmatan rel berkata aspek keselamatan terus diperkasa melalui penyediaan koc khas wanita berikutan kementerian sering menerima aduan gangguan seksual, terutamanya pada waktu sesak.

Beliau menarik perhatian bahawa hampir dua pertiga daripada jumlah keseluruhan penumpang perkhidmatan rel adalah golongan wanita, justeru perlindungan terhadap mereka menjadi keutamaan.

Dalam pada itu, Loke berkata agenda pemerkasaan wanita dalam sektor pengangkutan turut meliputi usaha membuka lebih banyak peluang dalam bidang yang sebelum ini didominasi lelaki, termasuk sektor penerbangan dan maritim.

Beliau berkata stereotaip jantina dalam sektor-sektor berkenaan perlu diubah supaya wanita turut diberi peluang berdasarkan kemampuan mereka.

“Kami yakin kalau lelaki boleh bawa kapal terbang, wanita juga boleh bawa kapal terbang, tak ada masalah. Kalau wanita boleh memandu, mengapa tak boleh bawa kapal terbang? Jadi, stereotaip itu mesti diubah,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement