MALAYSIA

Syarikat kenderaan perdagangan diminta daftar SKPS segera untuk nikmati subsidi RON95

Bernama 21/09/2025 | 06:23 MYT
Armizan berkata syarikat terlibat disarankan agar mendaftar awal bagi membolehkan syarikat memperoleh manfaat subsidi sebaik sahaja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 diumumkan. - Gambar fail/Astro AWANI
PENAMPANG: Syarikat kenderaan perdagangan diminta untuk mendaftar Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dengan segera untuk menikmati subsidi RON95.


Ringkasan AI
  • Syarikat pengangkutan darat awam dan barangan digesa mendaftar awal Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) agar dapat menikmati subsidi RON95 sebaik penyasaran subsidi diumumkan, kerana bilangan pendaftaran masih rendah terutama di Sabah dan Sarawak.
  • Proses pendaftaran SKPS mudah dan cepat jika dokumen lengkap, namun permohonan fleet card daripada syarikat minyak pilihan selepas kelulusan boleh mengambil masa.
  • Penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan di seluruh negara, berbeza dengan subsidi diesel, dan langkah ini bukan sahaja memanfaatkan syarikat tetapi juga melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga petrol.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata syarikat terlibat disarankan agar mendaftar awal bagi membolehkan syarikat memperoleh manfaat subsidi sebaik sahaja tarikh pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 diumumkan.

Beliau berkata gesaan itu dibuat berikutan bilangan syarikat mendaftar SKPS masih rendah, iaitu daripada 4,647 kenderaan perdagangan yang dianggarkan layak, hanya 89 kenderaan perdagangan di Sabah dan enam di Sarawak telah membuat pendaftaran SKPS.

"Jangan tunggu saat akhir, kalau kita melihat dari segi proses, mendaftar dan memohon SKPS itu mudah. Kita merasakan kalau mereka daftar sekarang, KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) boleh luluskan satu hari, bahkan satu jam pun boleh jika dokumen lengkap.

"Tetapi, proses yang selanjutnya apabila mendapat notifikasi kelulusan, mereka kena memohon fleet card daripada syarikat-syarikat minyak pilihan. Jadi, perkara ini yang akan ambil masa," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Konvensyen Mahasiswa Sabah di sini hari ini.

Konvensyen sehari itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hari ini, KPDN memaklumkan jumlah kumulatif permohonan SKPS dari 15 Sept hingga semalam adalah sebanyak 1,790 syarikat melibatkan 5,449 kenderaan, dengan 164 syarikat membabitkan 249 kenderaan melengkapkan pendaftaran SKPS.

Kementerian itu menganggarkan kira-kira 100,000 kenderaan syarikat pengangkutan darat awam dan barangan di seluruh negara layak mendaftar menerusi SKPS bagi menikmati subsidi petrol RON95.

Armizan menjelaskan langkah penyasaran subsidi petrol akan dilaksanakan di seluruh negara, dan berbeza dengan penyasaran subsidi diesel yang hanya dilaksanakan di Semenanjung dan subsidi itu dikekalkan di Sabah serta Sarawak.

"Mungkin ada yang tidak jelas. Kemungkinan mereka merasakan sebagaimana diesel, untuk penyasaran subsidi petrol ini tidak terlibat untuk Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurut beliau, subsidi petrol ini bukan sahaja memanfaatkan syarikat-syarikat berkenaan, tetapi juga melindungi rakyat daripada kesan pergerakan harga petrol apabila subsidi tidak diberikan.

-- BERNAMA




#syarikat pengangkutan darat #Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi #Armizan Mohd Ali #subsidi petrol RON95 #pendaftaran SKPS