[LAPOR LANGSUNG] Inkues Zara Qairina – Kemas Kini Terkini & Fakta Penting – Ikuti Di Sini.
MALAYSIA

Syarikat korporat disaran perkukuh dasar telur bebas sangkar

Astro Awani 19/09/2025 | 06:35 MYT
Dr Saravanakumar berkata, langkah itu bukan sahaja memastikan kebajikan haiwan lebih terjamin, malah memberi rakyat peluang menikmati pilihan makanan yang beretika dan mampan. - Foto Humane World for Animals
KUALA LUMPUR : Syarikat korporat dan peneraju industri disaran mengiatkan lagi peranan dalam membentuk semula sistem makanan negara, sejajar dengan piawaian global yang lebih berperikemanusiaan melalui pengukuhan dasar penggunaan telur bebas sangkar.

Prinsipal Kanan, Dasar dan Penglibatan Korporat, Humane World for Animals, Dr Saravanakumar S Pillai berkata, langkah itu bukan sahaja memastikan kebajikan haiwan lebih terjamin, malah memberi rakyat peluang menikmati pilihan makanan yang beretika dan mampan.

Menurutnya, peralihan kepada telur bebas sangkar bukan lagi satu trend kecil sebaliknya menjadi realiti arus perdana.

"Kepimpinan korporat memberi kuasa kepada pengguna untuk membuat pilihan yang lebih prihatin dan selari dengan standard global," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Sehubungan itu, Saravanakumar yang juga Penasihat bagi Pertubuhan Pengeluar Telur Bebas Sangkar Malaysia berkata, pihaknya menganjurkan Forum Kemajuan Pelaksanaan Korporat Telur Bebas Sangkar Malaysia dan Anugerah Industri bagi Pelaksanaan Progresif Dasar Telur Bebas Sangkar 2025 pada Sabtu ini.

Forum berkenaan ujarnya, bakal menghimpunkan pengeluar, pembeli korporat, pembuat dasar, institusi kewangan dan rakan antarabangsa dari Bangladesh, India dan Singapura.

Beliau memberitahu, forum yang akan disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha ( Dasar), Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan Malaysia itu turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang bakal memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi pengeluaran telur lebih beretika dan lestari.

Jelas Saravanakumar, antara penerima anugerah berprestij itu termasuk Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Hotel Ascott, Mandarin Oriental, Grand Hyatt Kuala Lumpur, AEON Malaysia,Jaya Grocer serta Sunshine Kid. Sementara bagi kategori pengeluar pula TC Poultry, Liang Kee dan Huat Lai menerima anugerah itu.


#Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan #telur bebas sangkar #bekalan telur #makanan beretika