MALAYSIA

Syarikat makanan halal jadi 'pintu masuk' Malaysia ke pasaran global - Ahmad Zahid

Bernama 25/01/2026 | 08:30 MYT
Ahmad Zahid bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad menyiram pokok ketapang ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah QL Innofood Park di Hutan Melintang hari ini. - Foto Bernama
BAGAN DATUK: Syarikat pengeluar makanan halal tempatan bukan sahaja menyokong pasaran domestik, malah berpotensi menjadi pintu masuk Malaysia ke pasaran halal global.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata industri makanan halal negara kini mampu menerokai pasaran global bernilai lebih RM16.02 trilion, dan dijangka mencecah RM22.88 trilion menjelang 2030.

"QL Inno Foods Parks memainkan peranan penting. Halal bukan untuk Muslim sahaja, tetapi untuk semua, dan syarikat ini mempunyai sijil halal. Kehadiran mereka bukan sahaja mewujudkan peluang ekonomi, malah peluang pekerjaan," katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah QL Inno Food Parks Bagan Datuk.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, dan Pengerusi Eksekutif QL Resources Berhad Dr Chia Song Kun.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Majlis Halal Negara, berkata kerajaan persekutuan dan negeri sentiasa menyokong syarikat pembangunan industri halal.

"Kerajaan mesti bersikap mesra perniagaan, kerana pembangunan syarikat akan memberi pulangan kepada negara melalui cukai korporat serta peluang pekerjaan," katanya.

Saarani pula berkata majlis hari ini menandakan permulaan pelaburan industri berskala besar, dirancang secara berfasa dan berjangka panjang.

Beliau menjelaskan pembangunan taman industri ini dijangka mengambil masa kira-kira 10 tahun dengan pelaburan RM1.2 bilion, menunjukkan komitmen pelabur terhadap potensi dan hala tuju pembangunan Daerah Bagan Datuk.

"QL Innofood Park mencerminkan keyakinan pelabur terhadap kestabilan dasar negeri, perancangan jelas, dan keupayaan kerajaan negeri menyediakan persekitaran pelaburan yang diyakini," kata Saarani.

"Yang lebih penting, projek ini membuka ruang baharu untuk memperkukuh struktur ekonomi Daerah Bagan Datuk secara tersusun dan mampan," tambahnya.

Projek ini dijangka memperkasakan ekosistem industri halal tempatan, membuka peluang pekerjaan, dan menempatkan Malaysia sebagai pemain utama dalam pasaran halal global.

-- BERNAMA







#pengeluar makanan halal #pintu masuk #pasaran global #Ahmad Zahid Hamidi