Syarikat minyak digalak jual produk petroleum di bawah harga ditetap kerajaan

Bernama
November 12, 2019 10:11 MYT
Kerajaan juga sedia memberi sokongan termasuk melalui pemberian faedah tertentu kepada syarikat minyak yang mengambil bahagian melaksanakan pengurangan harga. - Gambar hiasan
Produk petrol di stesen minyak boleh dijual di bawah harga yang ditetapkan kerajaan melalui amalan persaingan antara syarikat minyak, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menurutnya, kesemua 3,500 stesen minyak yang diterajui oleh enam pemain industri utama pada ketika ini menjual bahan petroleum mengikut Mekanisme Harga Automatik (APM) iaitu RM2.08 bagi seliter petrol RON95.
Sekiranya enam syarikat minyak itu mengamalkan prinsip persaingan melalui peningkatan inovasi dan kecekapan selain memfokuskan pada perniagaan teras menjual minyak, mereka pasti dapat mengurangkan harga jualan produk petroleum, katanya.
"Jika dilaksanakan kita boleh tengok stesen minyak jual pada harga berlainan. Contohnya, Shell letak harga RM2.06, Petron RM2.07 dan pergi BHP harga ditunjukkan ialah RM2.04," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Persaingan Setara dan Kos Sara Hidup bertema 'Seiring dan Sejalan' di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata pengusaha stesen minyak boleh melaksanakannya jika mengambil kira volum jualan dan permintaan produk bahan api itu oleh pengguna setiap hari.
"Perniagaan runcit minyak ialah perniagaan volum, bukannya perniagaan margin, bermakna persaingan antara pengusaha stesen boleh berlaku.
"Berapa nilai yang hendak diturunkan, itu terpulang kepada pengusaha kerana mereka perlu membuat perbandingan dari segi kos dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan," katanya.
Saifuddin Nasution berkata kerajaan telah mengambil kira kepentingan pengusaha stesen minyak dengan menaikkan margin sebanyak 2.81 sen seliter kepada 15 sen seliter untuk petrol dan 3.0 sen seliter kepada 10 sen seliter bagi diesel.
Beliau berkata kerajaan juga sedia memberi sokongan termasuk melalui pemberian faedah tertentu kepada syarikat minyak yang mengambil bahagian melaksanakan pengurangan harga tersebut.
-- BERNAMA
#amalan persaingan #jual bawah harga #kerajaan #Mekanisme Harga Automatik #perdagangan #produk petrol #Saifuddin Nasution Ismail #stesen minyak