GSF: Kesemua 23 delegasi Malaysia disahkan telah ditahan oleh Israel – Ikuti Laporan Langsung
MALAYSIA

Syarikat multinasional berperanan penting cipta pekerjaan berpendapatan tinggi - PM Anwar

Bernama 02/10/2025 | 15:10 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Anthony Tan serta delegasi, petang tadi. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat multinasional yang mempunyai kapasiti besar seperti Grab Holdings Inc. (Grab), berperanan penting dalam mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi.


Ringkasan AI
  • Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata syarikat multinasional seperti Grab penting dalam mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan menyokong pembangunan AI.
  • Anwar menerima kunjungan CEO Grab Anthony Tan dan membincangkan isu termasuk subsidi petrol bersasar BUDI95.
  • BUDI95 membantu meringankan kos operasi pemandu e-panggilan serta memperkukuh peranan sektor itu dalam sistem pengangkutan awam negara.


Beliau berkata syarikat multinasional, juga berperanan penting dalam menyokong pembangunan kapasiti berkaitan penggunaan kecerdasan buatan (AI).

"Kerajaan mengalu-alukan komitmen dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan ini, agar kebajikan pemandu dan penunggang Grab adalah terjamin," kata beliau dalam hantaran di Facebook.

Menerusi hantaran itu, Anwar berkata beliau menerima kunjungan hormat Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Grab Anthony Tan serta delegasi, petang tadi.

Anwar berkata dalam kunjungan itu, beberapa perkara turut dibincangkan termasuk pelaksanaan subsidi petrol bersasar menerusi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95), yang memberi manfaat terus kepada pemandu e-panggilan dengan membantu mengurangkan kos operasi harian mereka.

Langkah ini bukan sahaja meringankan beban, malah memperkukuh peranan sektor e-panggilan sebagai komponen penting dalam sistem pengangkutan awam negara.

-- BERNAMA

#Syarikat multinasional #Perdana Menteri Anwar Ibrahim #Grab Holdings Inc #cipta pekerjaan berpendapatan tinggi