MALAYSIA
Syarikat pembekal susu tepung disyaki manipulasi harga hingga 50 peratus

Sumber SPRM berkata, syarikat itu dipercayai terlibat dalam pembekalan produk bernilai RM120 juta yang tidak memenuhi piawaian SIRIM. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat pembekal susu tepung yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipercayai memanipulasi harga antara 10 hingga 50 peratus bergantung kepada zon selain memonopoli pasaran dalam kontrak pembekalan kepada sebuah jabatan kerajaan.
Menurut sumber SPRM, syarikat yang dimiliki pasangan suami isteri bersama seorang anak sebagai pemegang saham utama itu dipercayai terlibat dalam pembekalan produk bernilai RM120 juta yang tidak memenuhi piawaian Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).
"Fokus siasatan bertumpu kepada isu cukai, unsur rasuah serta amalan monopoli harga dalam pembekalan tender susu tepung kepada jabatan kerajaan.
"Siasatan turut menjurus kepada pemilikan syarikat termasuk jaringan pengedar lain yang memainkan peranan dalam rantaian bekalan susu tepung tersebut," menurut sumber itu.Sumber memaklumkan setakat ini 75 akaun sudah dibekukan membabitkan 24 akaun individu dan 51 akaun syarikat dengan nilai keseluruhan RM174.6 juta.
"Turut dirampas pelbagai dokumen membabitkan kontrak pembekalan susu tepung dan dokumen kewangan, telefon bimbit serta komputer riba turut disita bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan," katanya.
Beliau berkata setakat ini seramai 10 saksi telah dipanggil untuk memberi keterangan manakala seorang lagi anak kepada pasangan pemilik syarikat terbabit dijangka hadir ke pejabat SPRM pada Selasa atau Rabu depan.
"Tiada tangkapan baharu setakat ini namun siasatan masih diteruskan termasuk terhadap pengurusan jabatan kerajaan yang terbabit secara langsung dalam urusan kontrak pembekalan susu tepung," katanya.
Media semalam melaporkan tiga sekeluarga disyaki menjadi dalang memonopoli tender pembekalan susu kepada jabatan kerajaan sejak dua dekad lepas ditahan menerusi Op White di sini pada Selasa.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata keluarga itu disyaki menjadi dalang kartel membekal susu tepung bernilai RM120 juta membabitkan sebuah jabatan kerajaan.
Katanya kesemua premis diserbu disyaki menyimpan dokumen berkaitan kontrak pembekalan sejak 2019 susulan siasatan SPRM terhadap dua pemilik dan seorang pengarah syarikat pembekal susu tepung yang dipercayai tidak memenuhi piawaian standard SIRIM.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain mengenal pasti elemen jenayah di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami