Syarikat penerbangan Sarawak dijangka beroperasi pada 2025 - Abang Johari

Bernama
April 11, 2024 08:14 MYT
Abang Johari berkata, pada masa ini proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan negeri itu sedang berlangsung. - Gambar fail
KUCHING: Syarikat penerbangan milik Sarawak dijangka mula beroperasi pada 2025, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Katanya pada masa ini proses pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings Sdn Bhd (MASwings) oleh kerajaan negeri itu sedang berlangsung selepas dipersetujui secara prinsip oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Aviation Group.
"Apa yang berlaku kini ialah perbincangan mengenai aspek teknikal pengambilalihan tersebut. Saya jangka mungkin pada bulan Ogos atau selewat-lewatnya hujung tahun ini boleh selesai. Kita akan ada syarikat penerbangan kita sendiri pada 2025.
"Nama syarikat penerbangan juga sudah ada, tapi kita tidak boleh umum dulu," katanya yang ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran beliau di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, di sini hari ini.
Pada 23 Nov tahun lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Dr Jerip Susil dilaporkan berkata kerajaan negeri Sarawak sedang menjalankan proses penilaian wajar terhadap MASwings Sdn Bhd sebagai persediaan mengambil alih syarikat penerbangan berkenaan.
-- BERNAMA
#syarikat penerbangan #Sarawak #ambil alih #MASWings #Abang Johari Tun Openg